KHALID ABU BAKAR KUALA LUMPUR - Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar hari ini mempertahankan tindakan polis menahan beberapa aktivis pembangkang sebagai langkah penguatkuasaan undang-undang yang bertujuan mengekalkan keamanan dan menjamin keselamatan masyarakat.

Beliau menyangkal dakwaan Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali kononnya polis cuba mewujudkan era 'mahathirisme' dengan menangkap beberapa aktivis pembangkang, sebaliknya menegaskan ia dilakukan berdasarkan peruntukan undang-undang sedia ada.

"Tetapi apa jua tindakan yang kami (polis) buat adalah tindakan yang patut kami buat iaitu menguatkuasakan undang-undang. Sebab itu kami dipanggil penguatkuasa.  

"Polis tidak memilih sesiapa untuk kuatkuasakan undang-undang, jadi bila berlaku sesuatu pelanggaran undang-undang kami akan ambil tindakan," katanya pada sidang  akhbar selepas menerima kunjungan hormat Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) Tan Sri Lee Lam Thye dan beberapa anggota exconya di Bukit Aman, di sini.

Dalam pada itu Khalid menyambut baik langkah yang dibuat MCPF terutama dalam menyumbangkan idea serta cadangan bernas kepada polis melalui kerjasama dengan Jabatan Pencegahan Jenayah.