
Demikian pandangan yang dilontarkan Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Malaysia, Riduan Mohd Nor ekoran Naib Presiden PKR itu dihalang dari memasuki Sabah.
“Seorang ahli parlimen yang mempunyai kuasa menentukan arah tuju dan dasar negara serta boleh meminda perlembagaan melalui sidang parlimen tidak dibenarkan masuk ke salah sebuah negeri dalam negara ini,” ujarnya dalam satu kenyataan, sebagaimana di bawah.
Ahli Parlimen Lembah Pantai yang juga Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Nurul Izzah Anwar dihalang dari memasuki negeri Sabah.
Beliau dilaporkan akan dihantar balik oleh imigresen Sabah sebaik sahaja mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu semalam.
Tindakan ini semestinya menggemparkan negara. Bahkan Ahli Parlimen Kinabatangan Datuk Bung Mokhtar Radin, daripada BN sendiri merasa terkejut denagn tindakan ini dan segera memohon maaf kepada Nurul Izzah dengan menyelar tindakan Pejabat Ketua Menteri Sabah.
Negeri Sabah adalah salah sebuah negeri dalam Malaysia. Kebebasan warganegara untuk melancong, merantau dan pergi ke mana-mana sahaja negeri dalam negaranya sepatutnya tidak terbatas pada sesetengah negeri sahaja.