
Menurut Ahli Parlimen Serdang, Ong Kian Ming, Wan Ahmad adalah salah seorang pegawai SPR yang terlibat dalam persempadanan semula kawasan pilihanraya di 2003.
Menggunakan Kedah sebagai contoh, Ong berkata SPR tidak melakukan amanah tersebut berdasarkan undang-undang, malah sangat memihak kepada BN pada 2003 ketika Wan Ahmad menjadi timbalan pengerusi SPR.
“Perkara itu paling jelas di Kedah di mana tiada kerusi parlimen mahupun Dun ditambah selepas BN hilang 2/3 majoriti Dewan Rakyat setelah tewas di pilihanraya kecil Lunas pada tahun 2000, tapi sempadan dilakar semula dengan niat membantu Umno untuk menang kembali beberapa kawasan parlimen yang ia tewas pada pilihanraya umum 1999,” kata Ong dalam satu kenyataan.
Sebelum ini, SPR telah cuba mempertahankan perbezaan dalam jumlah undi setiap kawasan dengan merujuk kepada prinsip pemberat kawasan pedalaman (rural weightage) di mana kawasan pedalaman, dengan jaringan pengangkutan yang lemah dan luas kawasannya, perlu mempunyai jumlah pengundi yang lebih kecil daripada kawasan bandar yang lebih tepu dan lebih mudah dihubungi.
“Tapi di Kedah, ketika persempadanan semula 2003, prinsip ini dilanggar dengan jelas. Undi bukan Melayu telah dikeluarkan daripada kawasan selamat Alor Setar dan dimasukkan ke kawasan PAS iaitu Kuala Kedah dan Pokok Sena.