Satu laporan dalam akhbar Mingguan Malaysia hari ini mendakwa pasukan siber 'Red Bean Army' yang didakwa ditaja DAP turut mengancam untuk merogol golongan wanita yang menyokong parti BN.

Tulisan di pojok akhbar tersebut hari ini mendakwa, tindakan pasukan siber tersebut semasa pilihan raya itu malah lebih bahaya dari ancaman pengganas bersenjata.

“Serangan yang mereka lakukan dahsyat. Daripada memfitnah isu pengundi hantu dan menyerang siapa yang menyokong BN sehinggalah menghina raja-raja Melayu, agama Islam, orang Melayu dan memboikot produk syarikat Islam.

“Malah ada tentera siber RBA yang mengancam merogol wanita yang menyokong BN, membakar rumah dan pelbagai bentu ugutan serta buli.

“Bukan sahaja sangat rasis bahkan ekstrem, lebih bahaya daripada ancaman pengganas bersenjata. Semua itu berlaku dalam pilihan raya Malaysia,” kata pengarang akhbar milik Umno itu dalam tulisan berkenaan.
Dalam satu lagi tulisan, akhbar milik Umno itu menyiarkan satu rajah berhubung dakwaan 'Teknik serangan Red Bean Army'.