Anas Alam Faizli
Peristiwa Nabi Adam A.S. memetik buah larangan di Syurga, seperti yang diriwayatkan dalam kitab-kitab suci agama Hanif dan kemudiannya Islam, merupakan detik pertama keputusan menggunakan fakulti pemikiran dan daya kemahuan bebas (free will) telah diambil. Penurunan baginda ke bumi di Pulau Sarandib (Sri Lanka) manakala Hawa di Jeddah untuk dijadikan Khalifah di muka bumi ini, telah ditakdirkan. Kejadian memetik buah Khuldi itu tidak mungkin dapat dielakkan. Yang menjadi fokus kita di sini ialah proses pemikiran yang membawa kepada keputusan tersebut. Filasuf Perancis Descartes dalam membuktikan manusia itu wujud, menyatakan, ‘Aku berfikir, maka aku wujud’. Sememangnya kewujudan manusia dan pemikiran tidak boleh dipisahkan.
Apa itu kebenaran? Adakah Tuhan wujud? Mengapakah wujudnya penderitaan? Merentasi sejarah, banyak peristiwa telah menzahirkan perintah Tuhan untuk kita berfikir. Tuhan menganugerahkan manusia dengan kebijaksanaan, naluri dan daya kemahuan yang kemudiannya dijanakan sebagai pemikiran. Gambaran Musa A.S. menerima wahyu ketika uzlah pemikiran baginda di Thursina sekitar 1200 S.M. merupakan salah satu contoh perjalanan manusia mencari kebenaran menggunakan daya pemikiran. Begitu juga dengan kisah Ibrahim A.S. sekitar 2000 S.M. yang tidak berpuas hati dengan jawapan ibubapanya mengenai persoalan kehidupan dan ketuhanan. Menurut penaakulan baginda, mana mungkin Tuhan itu ialah bintang dan bulan, sedangkan kedua-duanya lenyap sejurus siang menggantikan malam.
Beribu tahun kemudian, hubungan antara kemanusiaan dan Tuhan tidak sejelas seperti dahulu. Persoalan penting mengenai tujuan kehidupan, wahyu, takdir dan nasib tidak lagi memenuhi benak pemikiran kita, malah dibiarkan menjadi bahan pemikiran dan perbincangan ahli-ahli falsafah yang dianggap ‘bermimpi di siang hari’. Pencarian kebenaran tidak lagi dijadikan focus utama masyarakat.
Lebih terkini, filem “Oblivion” menggambarkan pencarian kebenaran dalam dunia moden, melalui pemikiran dan sifat ingin tahu. Watak utama, Jack Harper menemui ‘kebenaran’ beliau melalui pertanyaan soalan demi soalan usai membaca sebuah buku yang memancing daya ingin tahunya.
Ahli falsafah dan tokoh sejarah seperti Confucius, Siddharta, Socrates, Plato, Aristotle, Ibnu Sina, Farabi, Ghazali, Ibnu Taymiyyah, Kant, Hegel, Locke, Bentham, Marx, Nietzche, Sartre, Ali Shariati dan ramai lagi turut memerhatikan dan mempersoalkan tujuan kehidupan manusia melalui sifat ingin tahu yang tinggi dan tidak henti bertanya. Albert Einstein pernah berkata bahawa beliau tidak mempunyai sebarang bakat istimewa melainkan sifat ingin tahu yang mendalam.
Sifat ini terus diwarisi ahli falsafah merentasi dunia moden. Lantas, kita mendapati bahawa pemikiran kritis sahajalah yang memungkinkan manusia untuk melahirkan dan menjadi saksi kehebatan tamadun silam, Zaman Pembaharuan, Zaman Pencerahan, Zaman Emas Tamadun Islam dan dunia moden.
Berfikir kritis ke arah mentaliti dunia kelas pertama
Read More / Baca Lagi >>