PASCA PRU SHAH ALAM - Keputusan PRU13 lalu dikatakan mempunyai kesinambungan gelombang ‘tsunami politik’ yang mula menular sejak PRU12 telah mengubah landskap politik Malaysia khususnya di kawasan bandar-bandar utama di negara ini.

Menurut Penyelidik dan Penganalisis MySuara, Faizal Riduan, PRU13 berjaya mengekalkan pola pengundian pilihan raya sebelumnya apabila memperlihatkan perubahan ketara susulan ramai pengundi khususnya golongan muda beralih arah kepada parti pembangkang.

“Keadaan ini sekaligus mengesahkan keputusan PRU12 bukan undi protes atau sikap sementara sebagaimana keputusan pilihan raya 1999 dan 1969 yang berjaya dipulihkan BN pada 2004 dan 1974.

“Persoalannya jika BN boleh menerima keputusan yang seberat ini, mengapa tidak PR akur kepada mandat yang telah diputuskan rakyat pada 5 Mei lalu?,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau sebelum ini turut membentangkan kertas kerja yang bertajuk “Participant of the Trash Voting on the 13th th General Election: Malaysia Perspective, International Conference on Goverment Transition and Policy Change di Universiti Yonsei, Korea Selatan.

Pada PRU13, terdapat seramai 13,268,002 pemilih berdaftar iaitu 80.2 peratus daripada keseluruhan 16,550,421 rakyat yang berusia 21 tahun dan ke atas layak mengundi.

Namun hanya 11,256,545 pemilih keluar mengundi iaitu 84.84 peratus daripada pemilih berdaftar.