Keputusan pilihanraya ke 13 sememangnya
merupakan tanda aras dan memberikan banyak jawapan kepada isu-isu yang
dibangkitkan oleh semua pihak sebelum pilihanraya itu diadakan. Malaysia
sebagai sebuah negara yang memberikan semua rakyat hak untuk memilih akan
memberikan semua jawapan yang di isukan dalam proses masing-masing mendapatkan
sokongan dan kemenangan.
Negara kita baru sahaja melepasi
pilihanraya umum yang sangat panas semasa mengharung waktu berkempen beberapa
bulan sebelum itu. Seperti biasa setiap pihak memberikan janji dan memaparkan
manifesto masing-masing untuk menambat hati rakyat.
Individu atau kumpulan yang
menang bersukaria dan yang kalah berdukacita dan ada yang mengambil keputusan
tidak menerima keputusan pilihanraya itu sambil memberikan tuduhan yang
pilihanraya tidak diurus dengan baik dan ‘transparent’. Keputusan ini juga
memperlihatkan ada unsur-unsur kesombongan pada diri individu dan kepimpinan
parti-parti kerana merasakan partinya atau dirinya sendiri sudah besar dan
tidak akan tercabar lagi.
Seperti biasa manusia mempunyai
pemikiran sendiri dan memberikan pandangan secara baik dan jujur terhadap
mana-mana parti yang terlibat dalam proses kemenangan dan kekalahan hasil
pilihanraya itu. Banyak juga orang lupa jika kuat pada hari ini tidak
semestinya kuat pada esok hari.
Otot yang besar akan menjadi
lembek dan mulut yang celupar itu akan membisu apabila sampai masanya. Ada manusia yang berfikir
yang mereka akan hidup sihat sentiasa dan tidak akan menghadapi hari tuanya
semata-mata kerana merasakan diri mereka sudah hebat.