Polis bertegas tidak membenarkan
penganjur mengadakan perhimpunan membantah keputusan Pilihan Raya Umum
Ke-13 (PRU-13) di Padang Merbok di sini Sabtu ini.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Zainuddin Ahmad
berkata, keputusan polis itu selari dengan keputusan yang telah
diputuskan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menerusi kenyataan Datuk
Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Ahmad Phesal Talib, baru-baru ini.
Katanya, kawasan Padang Merbok merupakan milik DBKL dan bergantung kepada pihak berkenaan untuk membuat keputusan.
"Datuk Bandar telah memberi kenyataan yang memutuskan perhimpunan
tersebut tidak boleh diadakan di situ dan sebagai tuan punya kepada
kawasan itu, DBKL mempunyai hak.
"Itu selari dengan kehendak Seksyen 10C Akta Perhimpunan Aman 2012
yang memperuntukkan setiap kebenaran berhimpun perlu mendapat kebenaran
pemilik dan penganjur perlu mengemukakan kebenaran pemilik untuk
mengadakan perhimpunan itu," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui semasa pertemuan pegawai polis
kanan Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi dengan Pengerusi Bidang
Keberhasilan Utama Negara (NKRA) Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk
Ayub Yaakob di sini hari ini ~ Lidah Rasmi UMNO