KUALA LUMPUR - Pakatan Rakyat menyeru rakyat hadir ke Himpunan Blackout 505, Sabtu
ini di Padang Merbok bagi membantah keputusan Pilihan Raya Umum (PRU) 13
yang disifatkan pilihanraya paling buruk dalam sejarah negara. Ketua
Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Pakatan mengulangi tiga
tuntutan daripada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). “Pakatan menuntut
peletakan jawatan kesemua ahli suruhanjaya SPR terutamanya Pengerusi dan
Timbalannya serta pelantikan ahli suruhanjaya baru dengan mekanisme
yang lebih baik. “Selain itu, Pakatan menggesa diadakan pilihan raya
semula di 30 kawasan parlimen dan menggesa proses persempadanan semula
dihentikan sehingga pesuruhjaya SPR baru dilantik,” ujarnya dalam sidang
media selepas mesyuarat minggu pimpinan Pakatan Rakyat di ibupejabat
Pas hari ini. Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub berkata, Pakatan
menolak kenyataan Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Yusof kononnya kesal
dengan isu dakwat kekal yang tidak kekal yang timbul. “Ini sama sekali
tidak boleh diterima dan dimaafkan kerana sebelum ini Aziz sendiri
mendakwa kononnya mungkin berpunca botol tidak digoncang, kesilapan
dengan kontrakor pembekal dakwat dan ada nasihat daripada pihak
kesihatan bahawa dakwat itu boleh sebabkan barah. “Dakwat kekal ini
adalah perkara asas yang menjadi bukti kelemahan SPR dalam mengendalikan
pilihan raya. “Jadi kita tekad untuk memberi komitmen yang tinggi
kepada perhimpunan Sabtu ini bagi mendesak Pengerusi dan Timbalannya
segera meletak jawatan,” ujarnya.
↧