
Sidang Dewan Rakyat sudahpun membuka tirainya dan rakyat sedang menunggu-nunggu untuk mendengar perbahasan bermutu dari ahli parlimen yang dipilih oleh mereka, baik oleh Pakatan Rakyat mahupun BN.
Lebih-lebih lagi Sidang Dewan Rakyat kali ini adalah sidang pertama selepas PRU ke-13 - di tengah kebangkitan rakyat yang mahukan perubahan, terutamanya membaiki sistem pilihan raya yang didakwa penuh penipuan, integriti kerajaan yang menang tipis dalam PRU itu dan pelbagai lagi.
Sidang kali ini diharapkan berbeza dari sidang di masa lalu, di mana ada ketikanya begitu boring untuk mengikutinya, disebabkan perbahasan yang tidak bermutu, melawak, sindir menyindir, kata-kata kesat dan angkuh serta berlagak seperti samseng dan sebagainya. Ini sama sekali tidak memancarkan sikap keintelektualan sebagai ahli parlimen dan sangat menghampakan rakyat.
Oleh itu, rakyat kini menuntut perbahasan bermutu, bersifat intelektual, berhujah berdasarkan fakta dan lojik serta rasional, bukan hanya emosi dan prejudis serta bermodalkan air liur semata-mata. Saya menujukan hal ini kepada kedua-kedua pihak, baik ahli parlimen dari BN mahupun dari Pakatan Rakyat.
Rakyat mahu mendengar perbahasan mengenai dakwaan penipuan dalam PRU yang lalu, isu cukai barangan dan perkhidmatan (GST) yang dijangka mungkin dikenakan kepada rakyat Malaysia, cukai baru yang lain, isu jerebu, isu harga barang yang meningkat, isu ekonomi seluruhnya, beban hutang negara, isu hak asasi, demokrasi, hubungan antara bangsa dan pelbagai lagi.
Read More / Baca Lagi >>