Datuk Hussamuddin Yaacub SHAH ALAM -  Sinar Harian sedia menawarkan platform kepada Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang untuk menjelaskan isu amanatnya yang kembali jadi kontroversi sejak beberapa minggu lalu.

Penerbit Sinar Harian, Datuk Hussamuddin Yaacub berkata, kesediaan itu adalah demi menyatupadukan rakyat negara ini terutama penyokong Pas dan Umno yang saling tuding menuding sejak 31 tahun lalu.

Menurutnya, akhbar itu yang terkenal dengan prinsip Telus & Tulus sedia memberi ruang sepenuhnya kepada Abdul Hadi.

"Jika beliau mahukan siaran langsung, kita boleh sediakan ruang menerusi siaran Sinar TV di www.sinarharian.com.my. Kesediaan ini adalah untuk memberi ruang kepada semua pihak sama menjernihkan keadaan dan juga membetulkan kekeliruan.

"Demi agama, bangsa dan negara, kita buka peluang seluas-luasnya kepada Datuk Seri Abdul Hadi untuk menjelaskan pendiriannya berhubung isu tersebut," katanya.