Mohamad Sabu MELAKA - Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu yakin kemuncak Himpunan Kebangkitan Rakyat pada 12 Januari depan di Kuala Lumpur berlangsung dalam suasana aman.

Beliau sama sekali menolak andaian bahawa perhimpunan itu akan menjadi seperti Peristiwa 13 Mei kerana penyokong Pakatan Rakyat (PR) juga mahu perhimpunan berjalan aman bagi menyatakan bantahan mereka.

“Peristiwa 13 Mei tidak akan berulang kerana kita, tidak kira Melayu atau Cina akan bersama-sama berhimpun di Kuala Lumpur pada 12 Januari 2013.

“Saya tahu semuanya sudah bersemangat tinggi untuk ke Putrajaya tapi kita perlu ke Kuala Lumpur dahulu sebagai kemuncak semua tuntutan PR dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO),” katanya.