KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) berpuas hati dan ingin mengalu-alukan kejayaan perhimpunan aman ‘Himpunan Kebangkitan Rakyat’ yang diadakan di Stadium Merdeka di Kuala Lumpur dan di Kota Kinabalu, semalam.
“Kejayaan ini jelas menunjukkan bahawa dengan adanya sifat keikhlasan dan tolak ansur di kalangan parti yang berkenaan, hak demokratik berhimpun secara aman boleh dilaksanakan dalam negara ini dan bukannya seperti mana yang diragui oleh skeptis,” ujar Pengerusi Suhakam, Tan Sri Hasmy Agam.
Tambahnya, Suhakam memuji sikap profesional yang ditunjukkan oleh pihak polis, penganjur dan peserta dalam mengendalikan perhimpunan itu yang mana mencerminkan imej yang baik terhadap negara.
Suhakam, ujarnya dalam kenyataan semalam turut memuji pemimpin atasan polis atas kecerdasan dan kebijaksanaan mereka dalam menangani keadaan berkenaan perhimpunan.