
Menurutnya, meletakkan syarat kemenangan BN Kelantan dalam PRU 13 untuk melaksanakan tujuh projek mega Kerajaan Persekutuan amat tidak wajar kerana hak wajib yang patut mereka perolehi melebihi tujuh projek pembangunan.
Beliau yang merupakan Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan negeri berkata demikian dalam sesi wawancara dengan Harakah dan Harakahdaily di pejabatnya petang ini.
Menurutnya, Kelantan sebahagian daripada Malaysia dan menjadi tanggungjawab Persekutuan menyediakan kemudahan sebagaimana negeri-negeri lain.
“Kemenangan tidak seharusnya dijadikan syarat sekiranya Kerajaan Persekutuan jujur dan menghormati rakyat Kelantan kerana apa yang dijanjikan adalah hak rakyat Kelantan dalam negeri berdaulat di Malaysia.
“Tujuh projek mega yang dijanjikan juga sebagai pengulangan kepada janji terdahulu sebelum PRU 12. Jika royalty Petroleum Kelantan diberikan sebagaimana tuntutan sebanyak RM12 billion, Kerajaan Negeri boleh laksanakan sendiri apa yang dijanjikan,”ujarnya.