Quantcast
Channel: RAKYAT MARHAEN
Viewing all articles
Browse latest Browse all 43913

Politik global 2012: Beberapa buku pilihan

$
0
0
Dalam politik antarabangsa, tahun 2012 ialah tahun yang sangat rancak, meningkatkan dan meneruskan perkembangan sejak beberapa tahun lalu.

Banyak perkembangan yang dramatik dan menarik menarik perhatian dunia, terutama kebangkitan dan pemberontakan di dunia Arab, atau rantau Asia Barat dan Afrika Utara.

Daripada laporan media, beberapa isu dikemukakan dan disimpulkan sebagai perkembangan yang baharu dalam sejarah, atau dikemukakan sisi-sisi tertentu sahaja.

Berikut lima buah buku pilihan menjelaskan dengan lebih mendalam perkembangan politik di Asia Barat, yang kini sedang menyaksikan perubahan politik dalaman dan percaturan kuasa-kuasa serantau dan global.

Buku-buku dalam senarai ini dinilai sebagai sangat relevan dengan perkembangan semasa dunia Arab, walaupun kebanyakan diterbitkan sekitar enam tahun lalu.

1. International Politics of the Persian Gulf oleh Mehran Kamrava (penyunting), Syracuse University Press, 2011.
Buku suntingan mengemukakan akademik yang memerhatikan politik serantau dan antarabangsa rantau Teluk Parsi dan dunia Arab dari dekat, termasuk F Gregory Gause dan Kristian Coates Ulrichsen. Memberi latar sejarah yang cukup (seperti politik dan identiti Arab yang mendasari banyak tindakan negara serantau) untuk menjelaskan persaingan semasa antara kuasa-kuasa terbabit. Menjelaskan perubahan-perubahan yang berlaku ekoran peristiwa-peristiwa kunci, daripada revolusi di Iran hingga kepada Perak Teluk pada awal 1990-an. Memuatkan bab mengenai dasar luar negara-negara utama terhadap Teluk Parsi (yang dinamakan Teluk Arab oleh negara-negara Arab), termasuk Amerika Syarikat, Arab Saudi dan Iran.

2. Power and Politics in the Persian Gulf Monarchies oleh Christopher Davidson (penyunting), Columbia University Press, 2012.
Buku suntingan yang disusun secara agak berbeza, dengan bab khas setiap satu negara ahli Majlis Kerjasama Teluk, GCC. Pengenalan yang komprehensif dan mudah dibaca kepada politik dalaman negara-negara monarki Teluk Parsi, yang agak kurang didapati sama ada dalam bentuk buku atau tulisan di media. Buku yang sangat relevan untuk lebih memahami perkembangan politik di negara-negara Arab Teluk Parsi, yang setakat ini masih terlindung daripada pergolakan dalaman di dunia Arab, yang hampir semuanya bersistem republik.

3. Syria and Iran: Diplomatic Alliance and Power Politics in the Middle East oleh Jubin M Goodarzi, I B Tauris, 2009.
Buku yang paling relevan untuk menjelaskan hubungan Syria-Iran yang dibina sejak 1979, dan sedang berdepan cabaran getir pada masa ini ekoran tekanan dalaman dan luaran. Memberi gambaran lebih jelas konteks serantau dan politik yang mendasari hubungan kedua-dua negara. Penulisnya menolak tanggapan pakatan ini sebagai dibina atas asas aliran agama (Syiah-Alawi) yang kini diperbesarkan dalam menanggapi hubungan Damsyik-Tehran. Mengemukakan bagaimana politik kepimpinan dan identiti Arab sentiasa menjadi faktor besar dalam hubungan antara negara-negara serantau.

4. The Shia Revival: How Conflicts within Islam Will Shape the Future oleh Vali Nasr, W W Norton & Company, 2007.
Buku yang muncul ketika ide "bulan sabit Syiah" (Shiite crescent) - kawasan dikuasai Syiah/Iran dari Syam ke Teluk Parsi mula hangat diperkatakan di dunia Arab dan komuniti dasar luar Amerika Syarikat, dan hubungan Sunni-Syiah mula mendapat perhatian lebih mendalam Washington. Antara pandangan yang memberi input kepada pembuat dan pelaksana dasar AS di Asia Barat pada masa ini, satu sebab penting dan relevannya buku ini untuk memahami perkembangan politik serantau dunia Arab, malah seluruh dunia Islam hingga ke Malaysia dan Indonesia.

5. Turkish Foreign Policy: Islam, Nationalism and Globalization oleh Hasan Kosebalaban, Palgrave Macmillan, 2011.
Dimulakan dengan pemetaan ideologi parti-parti politik di Turki (Parti Keadilan dan Pembangunan, AKP, dikategorikan sebagai menggabungkan Islam dengan liberalisme), buku ini ialah buku terbaik setakat ini menjelaskan dasar luar Turki sepanjang sejarah terkini dan di bawah pimpinan sekarang, yang sering disalah tanggap sebagai "Islamis" dan sudah memalingkan diri daripada Barat. Meletakkan perkembangan semasa dalam konteks sejarah berhubung dasar luar Turki, dan memberi gambaran lebih jelas haluan dasar luar pemerintah pada masa ini.

Viewing all articles
Browse latest Browse all 43913