KUALA NERUS – Arkitek terkemuka, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah membidas kerajaan negeri yang didakwa lewat bertindak membaik pulih Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak di sini, hingga mengakibatkan kejadian bumbung runtuh berulang lagi semalam.
Raja  Bahrin Beliau menyifatkan kejadian yang berlaku yang mengakibatkan tiga pekerja kontrak warga tempatan cedera itu sebagai sesuatu yang amat mendukacitakan di samping kerajaan negeri tidak mengambil iktibar daripada tragedi pertama yang berlaku Jun 2009.
Raja Kamarul Bahrin, salah seorang arkitek perunding yang dilantik dalam pembinaan bumbung stadium yang bernilai RM295 juta itu pernah mengemukakan cadangan bertulis kepada kerajaan negeri supaya segera menanggalkan struktur bumbung yang tidak runtuh kerana dipercayai tidak lagi selamat untuk digunakan.
“Selepas runtuhan pertama di bahagian tempat duduk tetamu kenamaan sebelum ini (2 Jun 2009) saya mencadangkan secara bertulis kepada kerajaan supaya bumbung yang tidak runtuh diturunkan segera kerana yang buat bumbung adalah kontraktor yang sama, pereka yang sama dan pekerja yang sama.