
BANGI: Sekumpulan mahasiswi daripada Ikatan Studi Islam Universiti Kebangsaan Malaysia (ISIUKM) hari ini telah melakukan protes aman di hadapan Dewan Canselor Tun Abdul Razak (Dectar) terhadap isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor.
Lebih kurang 50 orang mahasiswi telah berkumpul di hadapan dewan tersebut bagi menyatakan protes terhadap penyelewengan yang telah dilakukan oleh isteri pemimpin nombor satu negara itu.
Rosmah yang dikatakan hadir ke UKM bagi merasmikan program bersama mahasiswa UKM telah menerima tekanan hebat apabila sekumpulan mahasiswi telah berkumpul di luar dewan sambil memegang sepanduk dengan mesej menolak penyelewengan dan pembaziran duit rakyat yang didakwa telah dilakukan oleh beliau.
Mahasiswi itu dikatakan telah mula berkumpul di luar dewan pada jam 4 petang sebelum menyambut Rosmah yang dijadualkan akan habis program pada jam 4.30 petang.