Lim Guan Eng
GEORGETOWN - Kongres Kebangsaan DAP ke-16 yang bermula esok adalah penting secara dalaman dan luaran kepada parti untuk memilih barisan kepimpinan baharu, selain memulakan kiraan detik 100 hari sebelum pilihan raya umum ke-13, kata Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.
      
Beliau berkata pemilihan barisan kepimpinan pada kali ini mencatat rekod tersendiri apabila sejumlah 2,576 anggota perwakilan layak mengundi pada pemilihan yang akan berlangsung esok.
      
"Ia adalah kongres parti DAP yang akan memilih barisan kepimpinan baharu untuk tiga tahun yang akan datang. Kongres ini penting secara dalaman dan luaran.
      
"Pada aspek dalaman, ini adalah urusan untuk ahli-ahli dan satu proses demokrasi yang penting bagi parti DAP yang akan ditentukan oleh ahli-ahli," katanya kepada pemberita semasa mengadakan lawatan kerja ke Arena Sukan Antarabangsa Pulau Pinang (PISA), di sini hari ini.