MELAKA - Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menempelak pemimpin pembangkang yang menuduh insiden pencerobohan bersenjata di Lahad Datu, Sabah sebagai satu sandiwara sedangkan pasukan keselamatan negara berkorban nyawa bagi mempertahankan negara.
  
Beliau berkata, kerajaan Barisan Nasional (BN) tidak pernah mengarahkan anggota keselamatan melakukan sandiwara sebaliknya mengarahkan mereka mempertahan dan menjaga kedaulatan negara.
  
"Cuba fikir boleh tidak kita mencari pelakon yang sanggup mati dalam lakonan mereka? Ada tidak yang nak jadi sukarela (berlakon) yang bawa dia mati?
  
"Saya percaya tidak ada seorang pun yang sanggup bersandiwara sebegitu," katanya ketika berucap merasmikan Menara Persekutuan di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di Ayer Keroh di sini hari ini.
  
Kira-kira 20,000 penduduk di sekitar Melaka menghadiri majlis perasmian menara setinggi 21 tingkat yang dibina dengan kos RM208 juta bagi menempatkan jabatan dan agensi kerajaan persekutuan di negeri itu sejak Ogos 2010.
  
Turut hadir Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam dan Ketua Setiausaha Negara Datuk Seri Dr Ali Hamsa.