Buat pertama kali dalam sejarah pembentukan Malaysia, Parti Islam Semalaysia (PAS) akan menerajui Pulau Pinang selepas pilihanraya umum 5 Mei ini.
Perkara ini disahkan sebentar tadi ekoran keengganan Pendaftar Pertubuhan (ROS) menarik balik surat penggantungan yang dikeluarkan semalam ke atas DAP.
Ini bermakna kesemua 19 calon ADUN DAP akan menggunakan lambang PAS selain lima calon PAS sedia ada yang bertanding di kerusi DUN di negeri itu.
Ini juga bermakna jumlah keseluruhan calon PAS dan DAP yang akan bertanding menggunakan lambang PAS ialah 24 kerusi selain KEADILAN yang akan bertanding di 16 kerusi DUN.
Kerusi keseluruhan DUN di negeri ini ialah 40 manakala kerusi parlimen pula 13.
Selain kerusi DUN, DAP akan menggunakan lambang PAS di kesemua tujuh kerusi parlimen di negeri itu dan KEADILAN empat selain dua yang diperuntukkan sedia ada kepada PAS.
Pengerusi DAP Kebangsaan, Karpal Singh berkata, calon-calon mereka akan bertanding menggunakan logo PAS di Semenanjung Malaysia dan KEADILAN di Sabah dan Sarawak dalam pilihanraya umum 5 Mei ini.
Katanya, keputusan itu diambil kerana sehingga jam 3 petang ini - tarikh akhir yang ditetapkan DAP - mereka tidak mendapat sebarang respon penarikan balik surat penggantungan jawatankuasa eksekutif pusat (CEC) parti itu daripada ROS.
Karpal juga berkata tiada tanda-tanda surat itu akan tiba.
"Ekoran itu, kami akan teruskan apa yang diputuskan semalam dan bertanding bawah lambang PAS di Semenanjung dan KEADILAN di Sabah dan Sarawak," katanya ketika dihubungi.
Setiausaha Agung PAS, Mustafa Ali ketika dihubungi juga mengesahkan DAP akan menggunakan logo parti Islam itu di Semenanjung.