Peguam Negara, Tan Sri Mohamad Apandi Ali digesa membuka semula siasatan berkenaan penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) selepas ditutup pada 13 Oktober tahun lalu.
Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar berkata, Apandi perlu berbuat demikian memandangkan Amerika Syarikat (AS) melalui Jabatan Kehakiman Negara (DOJ) telah memfailkan permohonan rampasan sivil terhadap sejumlah aset mencecah lebih AS$1 bilion.
"Kes ini berkaitan dengan jenayah pengubahan wang haram. Kalau Peguam Negara tidak bersedia untuk bertindak, lebih wajar beliau melepaskan jawatan yang disandangnya.
"Saya melihat Peguam Negara hari ini tidak lagi peguam kepada negara sebaliknya menjadi peguam kepada Perdana Menteri untuk melindungi mereka yang terlibat dalam jenayah seperti disenaraikan DOJ," tegasnya selepas menyerahkan memorandum di Jabatan Peguam Negara, Putrajaya hari ini.
Sementara itu, Ahli Parlimen Bukit Katil, Shamsul Iskandar Md Akin berkata, Apandi perlu mengambil tindakan tegas atau memberi jaminan untuk melihat semula keputusan berhubung pengaliran dana 1MDB.
"Kita minta supaya Peguam Negara tidak harus duduk diam sebaliknya memberi komitmen tinggi dalam perkara ini.
"Beri tumpuan untuk mendakwa mereka yang terlibat dengan jenayah pengubahan wang haram.
"Bantu kedua-dua pihak dalam usaha membanteras jenayah khususnya berkongsi bukti (dengan AS). Peguam Negara boleh memanfaatkan segala bukti dan mulakan prosedur siasatan," jelasnya lagi.
Peguam Negara AS, Loretta E Lynch pada 20 Julai lalu mengumumkan tindakan undang-undang untuk merampas semula aset miliknya yang berkaitan dengan 1MDB.
Anak tiri Najib, Riza Shahriz Abdul Aziz; ahli perniagaan Jho Low dan Eric Tan Kim Loong antara nama dalam senarai saman tersebut.
Turut disebut lebih 30 kali dalam dokumen sebanyak 136 halaman itu ialah individu yang digelar 'Malaysian Official 1' yang didakwa menerima sebanyak AS$731 juta dari 1MDB melalui akaun bank miliknya.