Pengerusi Bersih itu berkata mereka tidak akan mengadakan perhimpunan mendesak Lim Guan Eng letak jawatan kerana itu bukan objektif sebenar badan itu.
PETALING JAYA: Pengerusi Bersih Maria Chin Abdullah mendakwa penganjur gerakan himpunan Baju Merah Datuk Jamal Yunos tidak memahami isu sebenar dan matlamat perhimpunan Bersih.
Beliau berkata ajakan Jamal untuk Bersih membuat himpunan supaya Lim Guan Eng letak jawatan, dan bukan protes mendesak Datuk Seri Najib Razak yang berhenti, tidak relevan.
Ini kerana katanya, tiada keperluan untuk Bersih membuat himpunan mendesak ketua menteri itu meletakkan jawatannya kerana masih belum terbukti beliau bersalah.
“Saya tidak tahu mengapa dia (Jamal) berkata begitu kerana objektif Bersih, seperti dalam Bersih 4, kita hendak mereformasikan institusi dan bukan untuk tujuan lain. Itu objektif kita.
“Jadi saya tidak faham mengapa kita nak turunkan Guan Eng? Saya rasa itu bukan mesej Bersih,” katanya kepada FMT.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung pelawaan Jamal supaya Bersih mengadakan himpunan mendesak Guan Eng letak jawatan.
Sebelum ini, Bersih berkata perhimpunan mungkin akan diadakan mendesak peletakan jawatan perdana menteri susulan sidang media Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat yang memfailkan saman menyita aset dibeli daripada wang yang dicuri daripada 1MDB.
Read More / Baca Lagi >>