Katanya, ia tanggungjawab kita untuk mempertahankan Datuk Seri Najib Razak atas kapasitinya sebagai perdana menteri, presiden Umno dan pengerusi BN.
PETALING JAYA: Naib Ketua Pemuda Umno Khairul Azwan Harun berkata sesuatu perkara buruk akan berlaku kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak jika laporan polis tidak dibuat terhadap tiga tokoh negara yang didakwa cuba menggulingkan kerajaan.
Khairul berkata menjadi tanggungjawabnya dalam Pemuda Umno untuk mematahkan sebarang percubaan dan komplot untuk menjatuhkan Najib.
“Menjadi tanggungjawab kita untuk mempertahankan Datuk Seri Najib Razak atas kapasitinya sebagai perdana menteri, presiden Umno dan pengerusi BN.
“Tanpa laporan polis dibuat, sesuatu perkara buruk akan berlaku. Saya ingin memesan jika kamu menyerang Najib, bermakna kamu menyerang Umno dan BN.
“Dan apabila kamu menyerang Umno dan BN, kami akan bangkit membalas. Untuk itu kami pasti bertanggungjawab untuk mempertahankan Najib,” katanya pada satu sidang media di Akademik Kapten Hussein di sini hari ini.
Semalam, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata laporan Khairul terhadap bekas peguam negara Tan Sri Abdul Gani Patail, bekas gabenor Bank Negara Tan Sri Zeti Akthar Aziz dan bekas ketua pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Tan Sri Abu Kassim Mohamed hanya berdasarkan andaian, maka ia tidak akan disiasat.
Ketika ditanya wartawan sama ada cubaannya menyelamatkan Najib gagal apabila polis menutup kes itu, Khairul berkata mungkin tetapi itu hanya andaian media.
Read More / Baca Lagi >>