Barisan Nasional (BN) berhadapan ancaman besar sekiranya Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) tidak diadakan secepat mungkin iaitu pada tahun hadapan ekoran pesatnya perkembangan sokongan untuk Tun Dr Mahathir Mohamad dan pengikutnya, kata penganalis.
Prof Madya Datuk Dr Samsu Adabi Mamat berkata, kelewatan PRU14 hanya akan memberi masa tambahan kepada gerakan yang diketuai bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad untuk mengumpul kekuatan, lapor Sinar Harian.
“Kalau PRU14 diadakan cepat, mungkin mereka tak sempat menyusun barisan dan BN akan mempunyai peluang yang tinggi. Tapi kalau 2017 tak berlaku PRU14 ini, maka gerakan ini akan menjadi lebih kuat kerana mereka memenangi isu nasional seperti 1MDB (1Malaysia Development Berhad),” katanya kepada laman online akhbar itu.
Menurutnya, sekiranya gerakan tersebut mampu mencipta gelombang dengan faktor Mahathir, ancamannya lebih besar kepada BN.
“Jika Tan Sri Muhyiddin Yassin bergabung dengan Mahathir, Datuk Seri Mukhriz (Mahathir) dan Datuk Seri Mohd Shafie (Apdal) membentuk gelombang 4M, ia akan beri sumbangan perpecahan kepada parti yang stabil, Umno-BN sendiri.
“Jika masa mencukupi, Mahathir boleh mencipta gelombang itu. Cuma, sehingga kini masih belum nampak riak-riak gelombang lagi,” katanya.
Katanya, 1MDB sudah dijadikan peluru berbisa kepada BN di mana lama-kelamaan rakyat akan membina persepsi negatif kepada kerajaan.
Read More / Baca Lagi >>