Quantcast
Channel: RAKYAT MARHAEN
Viewing all articles
Browse latest Browse all 43913

Skandal 1MDB: Bukan kafir, berita 1MDB dari orang Islam dan rakyat Malaysia sendiri.

$
0
0
Setiausaha Agung PKR, Rafizi Ramli menempelak nasihat seorang tokoh akademik yang mahu umat Islam di negara ini berhati-hati dalam mempercayai maklumat atau dakwaan terhadap kepimpinan negara khususnya dari pihak luar berhubung skandal 1MDB.
Katanya, dakwaan bahawa orang fasik dan kafir mempunyai agenda dan muslihat untuk campur tangan dalam pentadbiran negara adalah meleset kerana Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri adalah antara mereka yang pertama kali mendedahkannya.
"Jika ada pihak yang alergi atau alah dengan berita dari orang bukan Islam, mereka perlu sedar bahawa skandal 1MDB didedahkan di sini oleh seorang Islam yang terzohor - Anwar sendiri.
"Saya adalah pegawainya pada tahun 2011 dan bertanggungjawab menyediakan ucapannya. Beliau bimbang tentang 1MDB sejak awal tahun 2011 dan menyatakannya di Parlimen.
'Pada masa sama atau mungkin lebih awal (ahli parlimen DAP) Tony Pua juga sedang menyiasat. Saya mula terlibat pada pertengahan 2011 apabila KWAP (Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan) memberikan pinjaman RM4 bilion kepada SRC (International).
"Jadi, pada dasarnya sumber berita skandal 1MDB itu berasal dari seorang Islam dan telah melalui satu kitaran penuh," katanya kepada Malaysiakini.
Menurut pemimpin PKR itu, adalah amat memalukan apabila ada pihak mengambil jalan keluar dengan menggunakan ayat al-Quran di luar daripada konteks untuk menutup isu 1MDB.
'1MDB bawa kesengsaraan'
"Penyelewengan dana rakyat melalui 1MDB adalah lebih jelas. Jumlah bukti dan dokumen dari empat penjuru alam ini adalah lebih daripada mencukupi untuk memenuhi piawaian yang ditetapkan dalam tradisi perundangan Islam.
"Saya berasa sedih kerana ada kalanya, umat Islam menghabiskan terlalu banyak masa mencari alasan untuk butiran paling kecil bagi mengelakkan untuk membincangkan prinsip paling penting: iaitu betul dan salah, keadilan dan kebertanggungjawaban," katanya.
Rafizi berkata bahawa di dalam surah Al-Baqarah ayat 188, kutukan terhadap rasuah adalah jelas.
Ayat ini, katanya, adalah peringatan yang jelas supaya menentang rasuah dan pernyataan spesifik mengenai pemerintah iaitu orang yang berkuasa.
"Kesengsaraan yang bakal dibawa oleh 1MDB ke atas generasi akan datang tidak boleh dianggarkan sekarang. Mereka yang dalam kedudukan untuk membetulkannya tetapi memilih untuk berdiam diri perlu menjawab pada akhirat nanti.
"Itu bagi saya lebih penting untuk golongan elit Melayu jawab memandangkan bukti terhadap 1MDB dan (Perdana Menteri) Najib (Razak) adalah terlalu jelas," katanya.
Bercakap kepada Umno Online semalam, Prof Madya Hanafiah Harun menyatakan bagaimana al-Quran menekankan kepentingan berhati-hati ketika menerima berita dari orang-orang yang fasik.
“Dalam isu-isu yang mengaitkan kepimpinan negara, ia adalah bersumberkan dari pihak luar yang bukan setakat fasik, malah mereka itu adalah orang-orang kafir.
“Jika menerima berita daripada orang-orang fasik pun kita mestilah siasat terlebih dulu, apatah lagi kalau maklumat dan berita itu datang dari orang kafir,” katanya merujuk kepada tindakan saman sivil Jabatan Keadilan (DOJ) Amerika berhubung penyelewengan dana berkaitan 1MDB.
Najib berulang kali menafikan menyalahgunakan wang rakyat untuk kepentingan peribadi dan menyalahkan dakwaan itu terhadap komplot untuk menjatuhkannya.
Read More / Baca Lagi >>

Viewing all articles
Browse latest Browse all 43913