Sejak beberapa hari lalu, watak-watak dalam UMNO sudah mula ‘bertelagah’ sesama sendiri dalam menjawab isu “Siapa ‘Malaysian Official 1’ ?” dan hal-hal yang berkaitan dengannya.
Di Indonesia, Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak dalam temubual bersama media televisyen tempatan di sana dengan tegas mempertahankan bahawa “dirinya, Kerajaan Malaysia dan 1Malaysia Development Berhad (1MDB)” tidak terlibat secara langsung dalam saman sivil Jabatan Kehakiman (DOJ) Amerika Syarikat.
Sementara di tanah air, ironinya, Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin dengan lantang pula mengatakan bahawa hasil siasatan hampir setahun pihak DOJ melalui FBI untuk menyita aset yang dipercayai ‘dicuri’ melalui 1MDB seolah-olah mengatakan bahawa Putrajaya sememangnya telah didapati bersalah.
Semalam, Datuk Abdul Rahman Dahlan yang juga Majlis Tertinggi UMNO berkata hanya orang bodoh sahaja yang tidak tahu bahawa ‘MO1’ itu merujuk kepada perdana menteri, tetapi sedikit cerdik apabila kata Najib tak terlibat dalam saman sivil berkenaan.
Namun, kenyataan yang paling boleh mengundang ketawa kita semua adalah datangnya dari tidak lain dan tidak bukan dari Datuk Bung Mokhtar sendiri, apabila beliau berkata tiada siapa pun tahu siapa ‘MO1’, ia boleh jadi sesiapa sahaja, boleh jadi saya, kita semua.
Sudah terang lagi bersuluh, dalam dokumen saman setebal 136 muka surat tersebut dinyatakan ciri-ciri ‘MO1’, antaranya mempunyai pertalian kekeluargaan dengan Riza Aziz dan merupakan individu yang mempunyai kuasa tertinggi dalam pentadbiran negara dan 1MDB.
Tidak mungkin rakyat marhaen seperti kita mampu dilabel sebagai ‘MO1’ yang disebut sebanyak 36 kali dalam saman berkenaan.
Saman sivil DOJ itu bukan sahaja bertujuan untuk merampas aset-aset curi Riza Aziz dan Jho Low, tapi membawa bersama pelbagai pertuduhan penglibatan ‘MO1’ dalam usaha terancang individu-individu tersebut menjarah berbilion dolar AS wang rakyat Malaysia.
Read More / Baca Lagi >>