Kemungkinan kelulusan pendaftaran parti BERSATU akan melalui jalan sukar adalah hakikat yang barangkali harus diterima oleh Tun Mahathir Mohamad yang mengharapkan melalui parti baru itu dapat menyingkirkan Najib Razak melalui pilihanraya umum akan datang.
Sekurang-kurangnya dua alasan bakal menjadi halangan parti itu daripada diluluskan oleh Pendaftar Pertubuhan:-
- Logonya yang menggunakan bunga raya sebagai logo rasmi. Bunga raya adalah bunga kebangsaan dan penggunaannya mungkin tidak dibenarkan oleh Pendaftar Pertubuhan ke atas mana-mana parti politik, lebih-lebih lagi yang jelas bersifat untuk menumbangkan UMNO dan menyingkirkan Perdana Menteri.
- Penggunaan singkatan perkataan BERSATU kepada nama penuhnya Parti Pribumi Bersatu Malaysia.
Walaupun Tengku Adnan Tengku Mansor mengemukakan bantahan terhadap penggunaan perkataan "bersatu" itu atas alasan ia perkataan yang sering digunakan umum dan mungkin mengelirukan orangramai, sebab sebenar ialah kerana lagu rasmi UMNO sendiri banyak menggunakan perkataan "bersatu", selain slogan UMNO pula ialah "Bersatu, Bersetia, Berkhidmat".
Jika parti BERSATU diluluskan, ia tentunya bakal menjadi cabaran kepada UMNO kerana setiap kali ahli-ahlinya menyanyikan lagu UMNO, mereka secara tidak langsung sedang mempromosikan parti baru tersebut.
Ia juga membuatkan pemimpin-pemimpin UMNO, khususnya Najib Razak sentiasa keberatan untuk membuka mulut bagi sama-sama menyanyi ketika lagu itu didendangkan.
Dengan itu, sesuai dengan bantahan yang dikemukakan oleh Ku Nan, pemimpin nombor tiga paling berkuasa dalam UMNO itu, kebarangkaliannya adalah tinggi bahawa pendaftaran BERSATU tidak akan diluluskan oleh Pendaftar Pertubuhan bersandarkan dua alasan tersebut..
Ia dalam masa yang sama akan memaksa jawatankuasa penaja BERSATU untuk menukar logo bunga raya itu dan memilih singkatan perkataan lain selain daripada BERSATU.
Penggunaan perkataan "bersatu" untuk nama parti mungkin tidak menjadi masalah kerana UMNO sendiri bermakna Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu dan PBS pula adalah singkatan Parti Bersatu Sabah, tetapi penggunaan nama BERSATU sebagai nama sebutan harian sesebuah parti yang merupakan saingan UMNO dan tujuannya pula ingin menyingkirkan Najib, sudah tentu hampir mustahil untuk dibenarkan.