Najib perlu jawab kelemahan utama pentadbirannya iaitu rasuah bermaharajalela, penyelewengan berleluasa dan pecah amanah menjadi amalan biasa, kata presiden penaja Bersatu.
PETALING JAYA: Sambil Presiden Umno mengecam Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang belum diluluskan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS), Datuk Seri Najib Razak juga digesa menyabut cabaran debat pengasas Bersatu Tun Dr Mahathir Mohamad.
Presiden penaja Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata cabaran perlu disahut – jika Najib berani – bagi membersihkan nama yang terpalit pelbagai tuduhan dan kontroversi.
“Aneh juga sebuah parti yang belum lahir ini mendapat perhatian dari Najib. Parti ini belum ada ahli dan tidak ada cawangan,” kata Muhyiddin dalam satu kenyataan petang tadi.
Najib ketika merasmikan Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Kota Tinggi semalam mempersoalkan keupayaan Bersatu membela orang Melayu memandangkan hubungannya dengan DAP.
“Mahathir sendiri, Muhyiddin dulu sendiri telah menyelar mereka (DAP) sebagai parti anti-Melayu, anti-Islam dan cauvinis,” kata Najib menurut laporan Malaysiakini.
Serangan Najib menyusuli kenyataan Mahathir dan Muhyiddin sebelum ini yang menyatakan kesediaan bekerjasama dengan parti-parti pembangkang menghadapi cabaran Umno dalam Pilihan Raya Umum ke-14.
“Belum apa-apa lagi Najib telah melompat,” kata Muhyiddin. “Dia mengandaikan bahawa kerjasama itu tidak akan menguntungkan orang Melayu. Ini adalah satu kenyataan yang amat tidak bertanggungjawab dan pra-matang.”
“Jika Najib seorang yang berani dan ingin membersihkan namanya, beliau seharusnya menyahut cabaran Tun Dr Mahathir untuk berdebat.
“Usah berselindung dan berdolak dalih lagi,” tegas Muhyiddin.
Ahli Parlimen Pagoh itu berkata Najib perlu menjawab kelemahan utama pentadbirannya iaitu rasuah bermaharajalela, penyelewengan berleluasa dan pecah amanah menjadi amalan biasa – faktor yang menyebabkan kerajaan tidak disenangi rakyat.