OLEH MOHD SAYUTI OMAR
Sama ada berjaya atau tidak tetapi usaha Adun Salor Husam Musa untuk mengembalikan wang rakyat dan negara sesuatu yang terpuji dan suatu tindakan proaktif. Husam telah mengambil langkah lebih berani dan berisiko apabila menyaman lapan pihak dan individu di Amerika Syarikat berkaitan dengan kehilangan wang syarikat strategik negara 1MDB.
Husam memulakan tindakan berkenaan Khamis lepas, terhadap lapan defendan di Mahkamah Daerah New York dengan menggunakan juga segala gokumen yang dikemukakan oleh Jabatan Kehakimam Amerika (DoJ) ketika mengemukakan tindakan pembekuan aset yang dicuri(?) dari 1MDB di Amerika.
Lapan pihak termasuk individu itu ialah; adalah Riza Shahriz bin Abdul Aziz, (anak tiri Najib Razak), Low Taek Jho, Golman Sachs Group Inc, Timothy Leissner, Christopher Joey McFarland, Red Granite Pictures Inc, Debra Whelan Johnson, Metropolis 1X Capital Advisors.
Menurut Husam rancangan untuk mengambil tindakan terhadap skandal 1MDB itu lebih awal daripada pengumuman Jabatan Kehakiman (DoJ) Amerika Syarikat. Sebelum atau semasa berlangsung pilihan raya negeri Sarawak, Mei lalu beliau bersama Matthias Chang sudah berbincang untuk mengambil tindakan itu.
Bekas Naib Presiden Pas dan setiausaha politik bekas PM Dr Mahathir Mohamad itu sudah berjumpa dan berbincang dengan peguam dari Amerika Syarikat mengenai tindakan undang-undang itu.
Memerhati jauh mengenai tindakan Husam dan Matthias itu sudah tentu ia dibuat atas kesedaran watan betapa wang negara dan rakyat perlu diselamatkan dan tidak merelakan wang rakyat dikhianati walaupun satu sen.
Sudah tentu Husam sebagai warganegara dan ahli politik yang prihatin tidak sanggup melihat kejadian itu dan tindakan itu adalah satu tanggungjawab dan amanahnya kepada negara. Membiarkan atau bersubahat dengannya satu dosa dan pengkhianatan kepada watan.
Saya sependapat dengan bekas Ketua Pengaran New Straits Time, A Kadir Jasin yang menyifatkan tindakan Husam dan Mathias itu sebagai tindakan patriotik. Kadir menganggap Husam dan Mathias sebagai wira tulen menyelamatkan wang negara.
Dalam pada itu, di sini saya melihat bukan sahaja keberanian dan kebertanggungjawab Husam dan Mathias, tetapi mengenai idea dan ketinggian daya kreatif tindakan politik khasnya Husam anak didik Tokguru Nik Aziz yang teraniaya itu.
Dalam saat orang lain hanya berbicara dan "mengeluh" mengenai kehilangan wang 1MDB atau pun ada yang masih membela orang dianggap terlibat dan bertanggungjawab dengan skandal itu, tetapi Husam melangkah jauh dalam tindakannya keluar dari ibu kota Kuala Lumpur hingga ke New York. Tindakan Husam ini lebih global dan tidak bersifat "main dalam perkuk".
Begitu juga ketika ahli politik bercakap soal perlunya bekas partinya itu berkolaborasi dengan Umno, namun Husam berani bertindak sebegitu yang boleh mendatangkan bahana kepada presiden parti Umno yang puna berisiko buatnya. Ertinya Husam mengorbankan kepentingannya demi rakyat dan negara.
Sesungguhnya pemimpin yang peka, kreatif dan berani bangkit seperti Husam itulah yang patut dinobatkan sebagai pemimpin sejati. Tetapi sayang kelebihan dan keistimewaan yang dimiliki Husam ini disia-siakan oleh partinya sebelum ini apabila beliau dipecat tanpa dibicarakan penuh keadilan.
Pastinya mereka yang insaf akan bersama Husam dan Mathias.