Ahmad Razif sedia menemui Azizulhasni untuk mendengar luahan hatinya dan turut mengarahkan MSNT menyiasat dakwaan kerajaan negeri mengabaikan kebajikannya.
PETALING JAYA: Menteri Besar Terengganu memohon maaf kepada Azizulhasni Awang kerana permintaan pelumba basikal negara itu tidak pernah diketahuinya.
Bagaimanapun, Ahmad Razif Abdul Rahman berkata, beliau sedia menemui pemegang pingat gangsa Olimpik Rio itu sendiri untuk mendengar luahan hatinya dan turut mengarahkan Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) menyiasat dakwaan atlet itu yang kerajaan negeri mengabaikan kebajikannya.
“Saya tidak tahu-menahu mengenai perkara ini dan kena tunggu hasil siasatan (MSNT). Mungkin ada yang terlepas pandang. Saya amat terkilan dan mohon maaf sekiranya perkara itu benar,” katanya
selepas majlis ramah mesra bersama bakal haji Parlimen Kuala Nerus di pejabat penyelaras DUN Seberang Takir, hari ini.
Azizulhasni meraih tempat ketiga, sekaligus memungut pingat gangsa dalam perlumbaan akhir keirin di Rio Olympic Velodrome, Brazil, hari ini.
Bagaimanapun, petang tadi, Azizulhasni secara sinis mengucapkan terima kasih kepada Menteri Besar Terengganu kerana tidak membantu beliau dan pelumba basikal wanita, Fatehah Mustapa yang merupakan anak jati Terengganu berjuang di peringkat dunia dan Olimpik.
“Terima kasih kerana tidak sudi membelikan sebuah basikal ‘RoadBike’ untuk kegunaan kami dalam persiapan Sukan Olimpik walaupun sudah dihantar proposal lebih kurang setahun sebelum Sukan Olimpik Rio.
Read More / Baca Lagi >>