USTAZ ABDUL GHANI BIN SAMSUDIN berasal dari Kampung Durian Daun, Masjid Tanah, Melaka. Mendapat pendidikan awal di SK Masjid Tanah, Sekolah Menengah Agama Al-Junaid, Singapura sebelum mengikuti pengajian di Sekolah Menengah al Azhar (1965-1967). Beliau kemudiannya melanjutkan pelajaran ke Universiti Al-Azhar Mesir (1967-1974) dan memperolehi Sarjana (Syariah) dalam bidang perbandingan mazhab dan undang-undang. Berkhidmat sebagai guru, penasihat agama UiTM, pensyarah dan ketua jabatan di Universiti Malaya (1980-2001), beliau juga pernah berkhidmat di Universiti Brunei Darussalam dan Kolej Universiti Insaniah (2011-2013). Beliau kini Pengerusi Sekretariat Himpunan Ulama Rantau Asia (SHURA), Ahli Pemegang Amanah Kesatuan Ulama Sedunia (sejak 2010), Presiden Kesatuan Ulama Sedunia Cawangan Malaysia (sejak 2014) dan Penasihat MAPIM. Menghasil dan menterjemahkan lebih 10 buku antaranya karangan Dr. Yusuf Al-Qaradhawi dan Tafsir Al Munir oleh Dr. Wahbah al Zuhaili. Pernah bergiat aktif di dalam Abim, Persatuan Ulama Malaysia (PUM) dan Pas, beliau kini menjawat Timbalan Penasihat Umum Parti Amanah Negara (sejak 2015). Wawancara ini diterbitkan atas ihsan akhbar Amanah, suara rasmi Parti Amanah Negara.Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya.">
Sebagai parti Islam baru di persada politik negara, apa yang membezakan AMANAH dengan parti-parti Islam lain di negara ini?
Sejarah kemunculan Parti Amanah Negara memang sangat unik dan mendesak. Ia lahir dari krisis kelainan dan kepelbagaian pendekatan menangani masalah dan isu politik yang pelbagai dan rencam.
Ia terbit dari kesilapan pimpinan utama, pengaruh dan kecenderungan kedaerahan, persanggitan golongan profesional dengan golongan yang dianggap ulama tradisional kerana perbedaan pendekatan menyelesaikan masalah politik negara dan juga kerana tuntutan memperkukuh pakatan tahaluf parti-parti pembangkang demi mewujudkan posisi strategik yang lebih memihak kepada parti-parti pembangkng demi kelangsungan perjuangan menumpaskan kebatilan, kezaliman, kejahatan dan rasuah.
Meskipun parti ini dinafikan hak untuk menamakan dirinya dengan Islam namun ia adalah parti Islam yang progresif, prihatin dan peduli terhadap nasib rakyat, menampilkan gaya penyelesaian masalah politik negara dengan pendekatan yang bijaksana, bertahap, berlemah-lembut dan dengan kesabaran yang tinggi demi merealisasi konsep Islam sebagai "rahmatan lil 'Aalamin" (rahmat bagi sekalian alam).
Ini kerana barisan pemimpinnya bukan kalangan orang baru tetapi adalah dari kalangan profesional dan ulama yang menggerakkan parti sejarah (Pas) dan bertungkus lumus mendepani isu-isu yang di garap oleh parti berkenaan. Sebab itu dalam tempoh yang singkat dia dapat membentuk jentera dan cawangannya di seluruh negara malah dapat mengatasi pencapaian parti sejarah dalam salah satu dari dua kawasan pilihan raya yang ditandinginya; seperti di Sungai Besar, Selangor baru-baru ini.
Gandingan antara kepimpinan ilmuan profesional dan ulama yang berkaliber membentuk kepimpinan yang selaras dengan tuntutan Islam masa kini dengan kepakaran dan pengalaman masing-masing menjanjikan kemantapan strategi dan tindakan dalam memposisikan parti dan mengatasi isu-isu politik dalaman dan luaran.
Keilmuan dan pengalaman yang lama sebagai ilmuan agama, 17 tahun pengalaman sebagai pemimpin PUM, beberapa tahun sebagai Naib Presiden Pas, selain sekian lama menjawat jawatan penting di Pusat Islam, Penasihat Umum AMANAH Ust Ahmad Awang yang dibantu oleh saya, mempunyai kematangan dalam memberi pandu arah yang tepat - Insya Allah - terhadap hala tuju parti tanpa terpusing dan tidak tentu hala.
Barisan kepimpinan utama yang berilmu yang terdiri dari kalangan pemegang doktor falsafah (PhD), Sarjana dan Sarjana Muda di samping mereka yang sudah lama berpengalaman dalam gerak kerja kepartian menjanjikan masa depan yang positif untuk AMANAH.
Apa yang membezakan parti ini dengan parti sejarah adalah ia sebagai satu komponen penting dalam Pakatan Harapan yang boleh menyatukan suara rakyat untuk menggantikan kerajaan yang korup dan merompak wang rakyat. Ia manifestasi istiqamah untuk terus memperjuangkan cita-cita wadah politik sebelumnya untuk terus menentang kezaliman, menerajui pemerintahan melalui kerjasama dan permuafakatan politik yang rasional, bertenggang-rasa serta dengan pendekatan merahmati semua kalangan masyarakat yang berbagai bangsa dan agama.
Apa pandangan ustaz tentang pendapat bahawa kewujudan parti Islam baru tidak membawa kebaikan tapi hanya memecahbelahkan ummah?
Apabila perjuangan Islam kehilangan posisi perjuangan yang strategik sehingga hilang harapan untuk memerintah dan mengambil alih kepimpinan politik negara dari tangan rejim yang korup menyebabkan rakyat akan kehilangan harapan untuk mencapai cita-citanya melalui tindakan mengundi parti sejarah berkenaan.
Ini bermakna wajib ada wadah atau parti Islam lain yang baru untuk mengambalikan perjuangan Islam pada posisinya yang kukuh dan berkemungkinan untuk menang melalui suatu tahaluf atau pakatan yang dipercayai oleh rakyat; yang mampu bertarung dan menggantikan BN.
Oleh kerana tidak mungkin BN dikalahkan melainkan melalui pakatan pembangkang, maka mewujudkan dan mengukuhkan semula kehadiran pakatan pembangkang adalah suatu kewajiban dan kemestian.
Sebab itu kehadiran AMANAH yang mewakili jalur Islam adalah suatu kemestian atau suatu yang wajib demi kemenangan cita-cita rakyat; memandangkan parti Pas sudah kehilangan kredibiliti di kalangan pengundi bukan Melayu dam bukan Islam.
Di sini kita lihat kemunculan AMANAH adalah kehadiran yang memberi kekuatan kepada kesinambungan perjuangan Islam seperti yang dipimpin oleh Ust Fadzil Mohd Nor dan Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat. Sebab itu kita melihat perjuangan Pakatan Harapan semakin mendapat sambutan dan semakin mantap dan padu akhir-akhir ini.
Dari satu sudut ia merupakan suatu wadah parti Islam baru yang progresif menjadi ruang untuk segolongan besar pemimpin profesional dan ulama untuk meneruskan tugas mereka sebagai ahli parlimen atau Adun setelah mereka secara beramai-ramai ditolak dari parti sejarah. Ini selaras dengan kaedah usul Fiqh ialitu "Al Amrliza dhaqa ittasa", "Al Masyaqqah tujlibu al taisir".
Segala kejadian di dunia ini umumnya adalah suatu yang ditakdirkan oleh Allah. Umat Islam diajar agar menerima takdir dengan rela dan optimistik. Oleh kerana kehadiran berbagai parti yang memperjuangkan Islam, itupun suatu yang dibenarkan dalam fiqh siasi masa kini, seperti yang dihuraikan oleh Syaikh Yusuf Al Qaradhawi dan lain-lain, maka kita melihat mungkin Allah mahu mewujudkan suatu fenomena baru dalam perjuangan Islam di mana kekuatan persepakatan di kalangan pembangkang akan lebih kemas dan utuh demi membawa kemenangan yang diharapkan oleh rakyat yang sekian lama tertindas oleh regim korup BN.
Kisah sejarah dan perjalanan hidup Nabi Allah Yusuf a.s. yang penuh ranjau penderitaan boleh menjadi rujukan dan pengamatan kita. Nabi Yusuf berhadapan dengan perjalanan takdir yang perit dan menyedihkan tetapi episod akhirnya adalah suatu kejayaan dan kemajuan untuk beliau sekeluarga bersama adik beradik yang dahulunya bertelagah dan bersengketa.
Takdir Allah sebenarnya penuh dengan kebijaksanaan. Tapi menusia lumrahnya jahil buruk sangka serta sarat dengan prasangka.
Apa sebenarnya pandangan ulama kontemporari khususnya Dr Yusof al-Qaradhawi dalam soal kepelbagaian jamaah dan parti politik dalam negara umat Islam?
Dalam tulisan beliau bertajuk "Jadaliyatu Ta'addudil Ahzab" beliau menegaskan:
"Tiada terdapat apa-apa halangan syar'ie untuk wujudnya lebih dari satu parti politik dalam negara umat Islam. Kerana halangan syar'ie kalau ada mestilah dengan adanya nas yang mengarahkan demikian, namun tiada nas dalam hal ini.
"Sebaliknya kewujudan pelbagai dan berbilang parti ini mungkin menjadi suatu kemestian justeru ia menghalang sikap kuku besi individu atau kumpulan tertentu dalam masyarakat. Kerana tiada kumpulan lain yang berani menegur dan menentang sikap kuku besi berkenaan..."
Cuma menurut beliau untuk keabsahan kewujudan berbilang parti itu mestilah memenuhi dua syarat berikut:
1. Memperakukan Islam sebagai akidah dan syariah. Tidak memusuhi atau menafikan peranan Islam; meskipun parti berkenaan mempunyai kefahaman tertentu yang khusus dalam sesuatu isu dengan mendasarkan kepada kaedah dan dalil ilmiah yang diakui oleh syarak.
2. Parti berkenaan tidak berbuat untuk kepentingan pihak yang memusuhi Islam dan umatnya.
Perkembangan mutakhir dalam penulisan ulama muslimin muktabar menganggap bahawa sistem demokasi adalah mirip dengan konsep syura dalam Islam. Konsep dan sistem demokrasi sedikit sebanyak dapat menyelesaikan masalah kepimpinan politik secara bertamadun dan damai melalui pilihan raya yang adil dan telus.
Read More / Baca Lagi >>