Ini kerana Umno Johor mengamalkan politik yang matang dan berpendirian justeru akan terus mendoakan semua orang yang pernah berbuat baik dan berjasa pada parti itu.
KUALA LUMPUR: Umno Johor tidak akan melupakan jasa Tan Sri Muhyiddin Yassin di sebalik apa yang berlaku di antara beliau dan Umno.
Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khalid Nordin berkata ini kerana Umno Johor mengamalkan politik yang matang dan berpendirian justeru akan terus mendoakan semua orang yang pernah berbuat baik dan berjasa pada parti itu.
“Kita pasti akan mengenangnya. Kita tidak akan melupakan sahabat.
“Lebih penting, kita tidak akan sesekali membakar segala jambatan persaudaran dan tali persahabatan antara kita, hanya kerana khilaf politik,” katanya dalam satu kenyataan, di Facebooknya.
“Kita mesti terbuka dan menerima hakikat bahawa Tan Sri Muhyiddin telah memilih jalan berlainan. Beliau memilih haluan sendiri. Haluan yang lebih selesa dan sesuai dengan pendirian dan prinsip beliau,” ujarnya.
Ketua Badan Perhubungan UMNO Johor akui, beliau sendiri merasa janggal sewaktu berkunjung ke Pagoh tanpa kehadiran dan kelibat Muhyiddin.
Read More / Baca Lagi >>