Zainal Abidin berkata, jawatan itu tiada kuasa pentadbiran, kecuali amanah, tanggungjawab, tugas dan kerja berat semata-mata.
GEORGE TOWN: Umno tidak pernah melobi untuk jawatan pengerusi Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang kerana ia tiada kuasa politik atau sebarang keistimewaan di negeri pimpinan Pakatan Harapan.
Sebaliknya, Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri, Datuk Seri Zainal Abidin Osman berikrar akan terus menyokong Teng Chang Yeow memimpin BN Pulau Pinang dalam usaha merampas negeri itu daripada DAP.
“Umno Pulau Pinang tidak pernah mencadangkan atau melobi perdana menteri untuk mengambil alih jawatan itu. Pelantikan pengerusi BN negeri adalah prerogatif pengerusi BN pusat iaitu perdana menteri.
“Lagipun tidak pernah timbul dalam sebarang perbincangan di peringkat Badan Perhubungan Umno Pulau Pinang cadangan mengambil alih jawatan pengerusi BN negeri yang disandang Teng.
“Jawatan pengerusi BN negeri di sebuah negeri ditadbir pembangkang tidak mempunyai sebarang kuasa politik atau kuasa pentadbiran.
“Ia juga tidak ada apa-apa keistimewaan kecuali amanah, tanggungjawab, tugas dan kerja berat semata-mata. Ia tidak pernah menjadi rebutan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Read More / Baca Lagi >>