Pendedahan terkini oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar bahawa pihak polis telah melengkapkan fasa pertama siasatan ke atas 1MDB dan ia adalah terhad kepada lima cadangan ‘tidak wujud’ Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) seperti yang diarahkan oleh Kabinet, hanya menyebabkan siasatan polis terhadap 1MDB menjadi satu permainan dan sandiwara.
Ia menimbulkan banyak persoalan berhubung kebebasan, kesaksamaan, kecekapan dan profesionalisme polis Malaysia, terutama sama ada ia mampu dikategorikan sebagai salah satu badan polis terbaik dunia dari sudut kecekapan dan profesionalisme.
Sebagai contoh, bolehkah Khalid mengarahkan siasatan polis ke atas 1MDB untuk menyelidik lebih lanjut berkenaan dakwaan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ) mengenai jenayah kecurian, penyelewengan dan pengubahan wang haram dana 1MDB yang bernilai berbilion ringgit atau beliau harus mendapatkan ‘lampu hijau’ dari Kabinet atau Perdana Menteri terlebih dahulu?
Tanpa ‘lampu hijau’ oleh Kabinet atau Perdana Menteri, adakah polis Malaysia terpaksa berpura-pura seolah-olah dakwaan DOJ setebal 136 mukasurat yang menyentuh jenayah kecurian, penyelewengan dan pengubahan wang haram bernilai berbilion ringgit melibatkan 1MDB itu tidak wujud – walaupun hampir 10 negara sedang menyiasat skandal antarabangsa dana 1MDB tersebut?
Bolehkah Khalid menjelaskan kepada rakyat Malaysia sama ada beliau secara rasmi telah meminta ‘lampu hijau’ dari Kabinet atau Perdana Menteri agar polis Malaysia dapat menyiasat dakwaan DOJ terhadap salah laku jenayah melibatkan 1MDB, atau beliau tidak pernah berbuat demikian kerana tahu ia tidak akan membawa sebarang erti, sama ada dari Kabinet atau Perdana Menteri sendiri?
Penahanan polis tanpa waran dan reman tiga hari ke atas tiga aktivis pelajar, Muhammad Luqman Nul Hakim Zul Razali, Luqman Hakim dan Ashraff Nazrin pada Sabtu lalu kerana mempromosi himpunan #TangkapMalaysianOfficial1 di UiTM Seri Iskandar, Perak mencetuskan persoalan tentang apa sepatutnya menjadi kedudukan polis berkenaan personaliti ‘Malaysian Official 1’ yang dinyatakan 36 kali dalam saman sivil setebal 136 mukasurat bagi rampasan aset selepas terdapat dakwaan berhubung penyelewengan dan pengubahan wang haram bernilai AS$3.5 bilion dari dana 1MDB.
Bukankah polis Malaysia sepatutnya peduli tentang siapa ‘Malaysian Official 1’ dan bukankah pihak polis seharusnya bekerjasama dengan kempen #TangkapMalaysianOfficial1 tersebut?
Jika dakwaan DOJ mengenai salah laku jenayah melibatkan ‘Malaysian Official 1’ adalah benar, bermakna dia merupakan penjenayah paling dikehendaki di Malaysia. Jadi bagaimana mungkin pihak polis Malaysia tidak ambil peduli dan tidak berminat tentang itu?
Seperti yang ditegaskan oleh Presiden Badan Peguam Malaysia, Steven Thiru, sukar untuk berpendirian bahawa dokumen DOJ tidak menunjukkan wang telah diseleweng dari 1MDB memandangkan dakwaan berhubung salah laku kewangan itu melibatkan dana 1MDB – digambarkan sebagai “telah dicuri, diubah melalui institusi kewangan Amerika dan digunakan untuk memperkayakan beberapa pegawai dan sekutu mereka” – yang disebut dalam lebih 193 perenggan dalam dokumen tersebut.
Bukankah ia merupakan tanggungjawab polis Malaysia untuk mengenalpasti siapakah ‘MO1’ dan siapakah sebenarnya dalang di sebalik skandal kewangan antarabangsa 1MDB – sama ada ‘MO1’ atau jutawan Pulau Pinang, Jho Low?
Read More / Baca Lagi >>