Peserta perhimpunan #TangkapMO1 berjaya menangkap 'sesaorang' yang dipercayai Malaysia Official No 1 sebagaimana yang disebutkan oleh Jabatan Kehakiman (DoJ) Amerika dalam kenyataan mereka dalam perhimpunan di Dataran Merdeka hari ini.
Namun ia berupa 'topeng' yang dipakai khas dan diletakkan dalam kandang khas dalam perhimpunan mereka hari ini.
Empat topeng utama yang dinaikkan dalam himpunan hari ini adalah muka Datuk Seri Najib Razak dan isterinya Datuk Seri Rosmah Mansor di samping Jho Low dan Riza Aziz, dua nama utama yang disebutkan oleh DoJ dalam laporan mereka.
Beribu-ribu peserta yang kebanyakan pelajar menyertai perhimpunan yang digerakkan oleh sekumpulan aktivis mahasiswa di Dataran Merdeka hari ini.
Tema pakaian peserta hari ini adalah hitam dan puteh. Peserta mula berkumpul di dua tempat iaitu Masjid Negara dan Sogo sebelum berarak ke Dataran Merdeka.
Mereka diketuai oleh jurucakap gerakan #TangkapMO1, Anis Syafiqah Md Yusof dan rakan-rakannya.
Hari ini adalah kemuncak kempen mereka selepas membuat kempen menangkap MO1 yang dinyatakan oleh DoJ Amerika.
Sebelum ini, di UITM Perak, 3 pelajar telah ditangkap namun dilepaskan kemudiannnya.
Polis telah memberikan amaran hari ini bahawa perhimpunan mereka adalah salah di sisi undang-undang.
Wakil kepada Ketua Polis Dang Wangi ASP Mohd Zain memberi amaran supaya pihak yang berkumpul bersurai.
Mohd Zain berkata, protes jalanan merupakan tindakan yang menyalahi undang-undang.
"Saya wakil polis Dang Wangi ingin memberi amaran, mana-mana penganjuran perhimpunan atau protes jalanan menyalahi kesalahan.
“Justeru saya mohon kepada semua bersurai," kata Mohd Zain.
Bagaimanapun, arahan berkenaan tidak diendahkan.