Katanya, langkah kerajaan pakatan pembangkang memansuhkan keistimewaan Bumiputera itu hanya menguntungkan pemaju manakala rakyat terus tertekan untuk memiliki rumah.
PETALING JAYA: BN Selangor membidas tindakan kerajaan negeri memansuhkan diskaun 10% bagi Bumiputera untuk pembelian SoHo (rumah berpejabat), SoVo (rumah berpejabat maya) dan pangsapuri servis bermula 1 September.Pengerusinya, Tan Sri Noh Omar berkata langkah kerajaan pakatan pembangkang memansuhkan keistimewaan Bumiputera itu hanya menguntungkan pemaju manakala rakyat terus tertekan untuk memiliki rumah.
“Memansuhkan diskaun 10% pembeli Bumiputera akan menguntungkan pemaju dan menyusahkan rakyat, sebab sekarang ini projek perumahan rakyat hanya mampu tengok saja di Selangor bukan mampu milik.
“Sepatutnya kerajaan Selangor kekalkan apa yang dilakukan BN sebelum ini kerana ia membantu rakyat,” kata Noh yang juga menteri kesejahteraan bandar, perumahan dan kerajaan tempatan (KPKT) kepada FMT.
Menteri Besar Selangor Datuk Seri Azmin Ali sebelum ini berkata syarat kaum untuk kediaman kategori mampu milik jenis SoHo, SoVo dan pangsapuri berservis tidak lagi digunakan bermula September supaya semua bangsa mampu memiliki rumah sendiri.
Penyelaras Adun BN Selangor Mat Nadzari Ahmad Dahlan berkata pemansuhan diskaun untuk Bumiputera itu menunjukkan Azmin tertekan dengan pengaruh DAP yang tidak menyokong akta memberi keistimewaan kepada Bumiputera.
“Tindakan mereka zalim dan tidak adil, tidak melihat kepentingan sistem kuota secara menyeluruh. Saya rasa Azmin tertekan dengan pengaruh DAP yang memang nampak anti akta berkenaan.
“Itulah akibatnya kalau sebuah kerajaan tidak faham apa yang termaktub dalam perlembagaan yang adanya keistimewaan untuk Bumiputera.
Read More / Baca Lagi >>