Satu masa dahulu ada seorang bekas menteri mengisytiharkan bahawa pendapatan purata rakyat Malaysia ialah RM5,900 sebulan. Semua orang, terutama pemimpin UMNO bersorak gembira. Inilah hasil perjuangan UMNO kata mereka. Setiap biji beras yang kita makan, adalah hasil perjuangan UMNO, jerit seorang pemimpinnya.
Saya faham konsep purata. Saya percaya ramai lagi yang faham konsep purata. Antara persepsi dan realiti, ada perbezaan besar.
Tapi angka yang disebut itu terlalu luar biasa. Ianya tidak dapat diterima sebahagian besar rakyat Malaysia. Jika seorang Syed Mokhtar masuk ke dalam kumpulan yang hendak dihitung, tentulah pendapatan purata semua orang akan meningkat. Pendapatan Syed Mokhtar seorang akan menaikkan pendapatan semua orang lain.
Sebenarnya, kesenjangan pendapatan antara yang terkaya dan yang termiskin makin melebar. Ertinya dalam bahasa mudah, yang kaya semakin kaya, yang miskin bertambah miskin.
Saya ke pasar minggu Raub, timbul satu soalan, bolehkah saya mendapat RM5,900 sebulan dengan menjual buah?
Perkara ini terjadi bukan sebab ianya kejadian dan peraturan masyarakat yang semula jadi. Ianya bukan ketentuan Tuhan. Tidak juga ia terjadi sebab rezeki secupak tidak jadi segantang. Kenapa orang kampung yang rajin berkerja masih mendapat pendapatan yang rendah?