Quantcast
Channel: RAKYAT MARHAEN
Viewing all articles
Browse latest Browse all 43913

Marahkan nyamuk satu kelambu dibakar

$
0
0
Oleh Nasharuddin Muhammad
Biarpun tidak lagi menjadi ahli, bekas Perdana Menteri selama 22 tahun yang juga bekas Presiden UMNO Tun Dr Mahathir Mohamad nampaknya masih lagi tidak berhenti daripada menyerang dan mengkritik parti yang pernah dipimpinnya dulu serta pemimpinnya terutama Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
Sejak mengisytiharkan ‘perang’ terbuka dengan Najib, Dr Mahathir terus berkelana di seluruh pelosok negara bermula dengan gerakan dinamakan Deklarasi Rakyat sehingga kepada penubuhan parti politik baru, Parti Pribumi Bersatu Malaysia, beliau masih lagi ‘memperkatakan’ mengenai UMNO dan barisan pemimpinnya. Malah, dalam seminggu dua ini, beliau turut mula ‘memperkatakan’ mengenai dasar, polisi serta keputusan politik yang pernah dibuatnya dulu ketika masih lagi berkuasa sebagai Perdana Menteri dan Presiden UMNO walaupun ada antaranya dianggap sensitif, yang sepatutnya tidak lagi disentuh dan dibangkitkan selain sudah bersifat akademik.
Antara isu dianggap sensitif tetapi kembali dibangkitkan beliau termasuk pindaan Perlembagaan Persekutuan yang mengehadkan kuasa raja-raja Melayu ketika era pemerintahannya, tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan terbaru isu Bangsa Johor yang didakwanya boleh memecah-belahkan perpaduan rakyat di negara ini.
Justeru itu, timbul persoalan besar dalam diri penulis dan juga mungkin pembaca di luar sana iaitu apa sebenarnya yang dimahukan Dr Mahathir melalui tindakannya itu.
Sebagai negarawan ulung yang pernah menjadi sanjungan bukan saja rakyat negara ini, malah rakyat dan pemimpin negara lain khususnya negara dunia ketiga tetapi kini secara tiba-tiba sikap, tindakan dan pendirian beliau berubah 360 darjah hingga sanggup menentang pemimpin dan parti yang pernah dipimpinnya.
Inilah yang menimbulkan lebih banyak persoalan daripada jawapan sehinggakan beliau sanggup merendahkan martabat dan harga dirinya sebagai negarawan ulung apabila tergamak duduk di pentas sama dengan individu yang pernah menjadi musuh politiknya sebelum ini.
Jika dulu, individu seperti Lim Kit Siang dan Mohamad Sabu @ Mat Sabu antara musuh politiknya tetapi kini beliau sanggup bersekongkol dengan mereka, malah tergamak secara terangan-terangan mengajak rakyat menolak Najib dan UMNO/BN dengan menubuhkan parti politik baru untuk berlawan.
Dari satu segi, semua tindakan beliau hanya satu iaitu mahu memastikan agenda dan cita-citanya menjatuhkan Najib sebagai Perdana Menteri tercapai.
Namun, timbul persoalan, jika hanya mahu menjatuhkan Najib, kenapa perlu mengajak rakyat menolak UMNO dan BN dengan menubuhkan pula parti politik baru. Jika benar hanya marahkan nyamuk, kenapa pula kelambu perlu dibakar.
Read More / Baca Lagi >>

Viewing all articles
Browse latest Browse all 43913