GELANG PATAH, 6 SEP: Pertemuan bersejarah Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Tun Dr Mahathir semalam selepas lebih 18 tahun berseteru wajar dijadikan contoh ikutan rakyat Malaysia untuk mengetepikan perbalahan demi menyelamatkan Malaysia.
Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang, dalam kenyatannya berkata pertemuan bersejarah itu memberi inspirasi kepada rakyat Malaysia untuk bertindak atas dasar cinta kepada negara dan menyelamatkan Malaysia daripada menjadi sebuah negara kleptokratik yang gagal.
“Sudah tiba masanya untuk diadakan Sidang Kemuncak Patriotik Nasional untuk setiap pemimpin dan individu, serta organisasi politik, sivik, agama dan komersil untuk bersatu dan menyatakan pendirian bagi menyelamatkan Malaysia,” ujar Ahli Parlimen DAP itu.
Ini katanya untuk membersihkan Malaysia daripada dimalukan di peringkat antarabangsa sebagai sebuah negara kleptokrasi.
“Belum pernah lagi Malaysia berada di tahap yang begitu corot sepanjang usia 59 tahun Merdeka.
“Kredibiliti, kehormatan, reputasi dan nama baik negara dikotori dalam masa yang begitu singkat, setelah menjadi fokus utama tindakan undang-undang Jabatan Kehakiman Amerika (DOJ),” ujarnya merujuk saman sivil jabatan itu untuk menyita aset terkait pengubahan wang haram melibatkan dana 1MDB.
Pun begitu katanya, kerajaan masih enggan berbuat apa-apa bagi membersihkan nama baik negara setelah Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Abdul Rahman Dahlan mendedahkan dalam wawancara bersama BBC bahawa karakter ‘Malaysian Official 1’ yang disebut 36 kali dalam saman sivil DOJ, adalah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sendiri.
Read More / Baca Lagi >>