Realiti yang menyelubungi umat Islam di Malaysia ke arah perpaduan ummah hanya bersifat 'hangat-hangat tahi ayam' dan menyerang antara satu sama lain kini memerlukan konsep 'Grand Strategy' sebagai gagasan perpaduan dalam menangani cabaran dari dalam dan luar negara,kata Profesor Datuk Mohamad Abu Bakar.
Beliau selaku ahli Panel Perunding Perpaduan Ummah (PPPU), Majlis Dakwah Negara (MDN) berkata, dalam sejarah terdahulu faktor pendorong yang menggerakkan 'perpaduan' kerana adanya pemimpin negara dan ulama yang menggerakkan usaha ke arah perpaduan ummah sebelum dan diawal zaman negara mencapai kemerdekaan.
Namun ia tidak lagi berlaku pada hari ini ekoran persekitaran politik dan tekanan globalisasi telah mengubah sikap, tindakan, pemikiran pemimpin, ulama dan masyarakat."Realiti yang telah menyelubungi umat Islam khasnya Malaysia apabila pergerakan mereka ke arah perpaduan kini bersifat 'fire fighting', 'one off',sementara, segera dan hangat-hangat tahi ayam.
"Tahun-tahun 30an sehingga 70-an lebih mudah disegerakan perpaduan kerana adanya 'mulut-mulut yang masin' daripada seorang perdana menteri,mufti,khatib dan sebagainya, sebaliknya hari ini tiada lagi mulut-mulut masin seperti itu menyebut ke arah perpaduan.
"Mungkin dahulu tidak ramai agamawan dan cerdik pandai ketika itu cukup dalam `ketiadaan rotan akar pun berguna', mudah sekali masyarakat terdesak untuk berpadu dalam peristiwa bersejarah seperti 13 Mei 1969.
"Dalam keghairahan mengerakkan Islam berlatarbelakangkan agamawan yang bertaburan masa kini dengan kepelbagaian program agama, kebebasan bercakap di media massa,keilmuan semakin berkembang tetapi menjadi percanggahan dari sudut politik dan agama hingga merenggangkan antara kita untuk mewujudkan perpaduan.
"Ditambah faktor globalisasi di mana nilai luar mengubah kehidupan kita terutama orang Melayu beragama Islam yang mudah terpikat dengan idea berlainan antaranya wujud pula kumpulan G25 atau apa sahaja dengan kelainan dan kepelbagaian menyebabkan berinteraksi dalam medan sama tetapi bercanggah dengan idea Islam dan perpaduan ummah pula," ujarnya.
Beliau bercakap demikian ketika mengulas kertas kerjanya bertajuk: Grand Strategy- Gubahan Ummah dan Gagasan Perpaduan pada Persidangan Pendakwah Kebangsaan yang bertemakan:'Peranan Pendakwah dalam Perpaduan Ummah dan Pembangunan Negara di Bangi semalam.
Read More / Baca Lagi >>