CEO Institut Akauntan Malaysia tidak mahu beri garis masa bila siasatan akan selesai.
PETALING JAYA: Institut Akauntan Malaysia (IAM) masih menyiasat aduan terhadap juruadit luar yang dilantik 1Malaysia Development Bhd (1MDB).Ketua Pegawai Eksekutif Dr Nurmazilah Mahzan mengesahkan perkara itu kepada The Edge Financial Daily hari ini.
Beliau tidak mahu beri garis masa bila siasatan akan selesai.
Wakil rakyat pembangkang Tony Pua membuat aduan kepada IAM terhadap KPMG dan Deloitte Malaysia pada Mac dan Jun tahun lepas, mendakwa firma terbabit gagal mengambil usaha wajar secara sengaja atau cuai dalam audit 1MDB.
Beliau mendakwa ia menyebabkan pemfailan penyata kewangan tahunan 1MDB yang meragukan.
Susulan tuntutan sivil oleh Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ) untuk mendapatkan semula harta bernilai AS$1 bilion yang didakwa digelapkan daripada 1MDB, Deloitte berkata laporan audit olehnya yang berkaitan dengan penyata kewangan 1MDB tahun 2013 dan 2014 tidak dijadikan sandaran.