Datuk Seri Zahid Hamidi menasihati supaya sentiasa berwaspada semasa berada di tempat terbuka seperti pusat hiburan, rumah ibadat bukan beragama Islam dan tempat kunjungan ramai.
BAGAN DATOH: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini berkata ancaman kumpulan militan IS di Malaysia bukanlah suatu manipulasi, publisiti atau sengaja diada-adakan.“Saya ingin memberitahu rakyat ancaman IS ini memang benar,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menasihati mereka supaya sentiasa berwaspada semasa berada di tempat terbuka seperti pusat hiburan, rumah ibadat bukan beragama Islam dan tempat yang menarik kunjungan ramai.
Katanya, kerajaan menerusi pasukan keselamatan sentiasa bersiap siaga bagi memastikan kawalan keselamatan negara terjamin.
“PDRM melalui Bahagian Counter Terrorism Cawangan Khas sentiasa melakukan pemantauan pelbagai kaedah termasuk melalui media sosial bagi membendung pengaruh ancaman IS di negara ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyerahkan 130 lembu korban sempena Aidiladha untuk diagihkan kepada masjid, surau serta agensi kerajaan dalam Bagan Datoh.
Selain Zahid, lembu berkenaan juga disumbangkan beberapa syarikat antaranya HeiTech Padu Berhad, Naza Group dan MyEG Services Berhad.
Read More / Baca Lagi >>