Rahman Dahlan berkata kehadiran perwakilan masih mampu mengisi seluruh dewan menunjukkan perwakilan Gelang Patah masih kuat menyokong Umno.
PETALING JAYA: Ahli Majlis Tertinggi Umno Datuk Abdul Rahman Dahlan menegaskan peletakan jawatan Pengerusi Tetap Umno Gelang Patah, Datuk Baharom Abdul Ghani tidak memberi kesan yang besar pada mesyuarat perwakilan.Beliau dalam laman sosial Twitternya berkata, tiada seorang pun perwakilan yang mengikut jejak Baharom meninggalkan Umno.
“Sebaliknya, kehadiran perwakilan masih mampu mengisi seluruh dewan sehingga akhir mesyuarat. Mereka tidak berganjak sama sekali,” katanya.
Beliau berkata kehadiran itu menunjukkan perwakilan Gelang Patah menghantar mesej yang kuat kepada orang lain iaitu mereka akan terus menyokong Umno.
Baharom salah seorang daripada 2 pemimpin veteran bahagian Umno Johor yang mengumumkan keluar parti di samping Timbalan Ketua Kulai Tosrin Jarvanti yang juga pegawai khas kepada bekas Timbalan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.
Turut difahamkan, kedua-dua mereka yang juga anggota Gabungan Ketua Cawangan Malaysia (GKCM) pernah mengeluarkan kenyataan pada tahun lalu meminta peletakan jawatan Datuk Seri Najib Razak sebagai Presiden Umno dan Perdana Menteri.