Hishammuddin berkata amalan itu hanya membawa kepada polemik perpecahan kerana sentimen sedemikian tidak pernah membina ke arah semangat perpaduan.
TAWAU: Naib Presiden Umno Datuk Seri Hishammuddin Hussein hari ini mengingatkan seluruh anggota parti agar tidak terikut-ikut mengamalkan sentimen emosi termasuk sentimen kenegerian.Katanya, amalan itu hanya membawa kepada polemik perpecahan kerana sentimen sedemikian tidak pernah membina ke arah semangat perpaduan.
“Perkara sebegini perlu kita sedarkan kepada orang ramai bermula dari ahli-ahli kita sendiri.
“Kalau semua memainkan sentimen emosi (kenegerian) kadangkala akhirnya emosi boleh mengambilalih pemikiran yang rasional,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Umno Bahagian Kalabakan dekat sini, hari ini.
Beliau ditanya mengenai sentimen ‘Sabah for Sabahans’ yang dimainkan individu tertentu.
Terdahulu dalam ucapannya, Hishammuddin merangkap Menteri Pertahanan mempersoalkan apakah tindakan individu tertentu yang memainkan sentimen Sabah for Sabahans sebagai retorik politik atau laungan keikhlasan.
“Pihak yang emosi bersandarkan kepada kemarahan, kebencian dan kerakusan akan berakhir memainkan sentimen perpecahahan…Sabah for Sabahan.
“Sesungguhnya sentimen itu tiada tempat dalam kesinambungan perjuangan Umno,” katanya.
Menurutnya, ketika Sabah diceroboh pengganas Sulu, kerajaan tidak pernah mempertikaikan sentimen Sabah for Sabahan sebaliknya meletakkan kepentingan utama adalah keselamatan rakyat di negeri itu.