Dunia Islam pada masa ini sepatutnya mengamalkan ‘taqrib’ iaitu mendekatkan pihak-pihak yang bertelagah.
KUALA LUMPUR: Walaupun tidak berpuas hati dengan kritikan Iran berhubung soal pengurusan haji, Mufti Besar Arab Saudi Sheikh Abdulaziz Al al-Sheikh tidak sepatutnya mengkafirkan negara itu, kata Pengerusi Sekretariat Himpunan Ulama’ Rantau Asia (Shura) Abdul Ghani Samsudin.Beliau berkata, dunia Islam pada masa ini sepatutnya mengamalkan ‘taqrib’ iaitu mendekatkan pihak-pihak yang bertelagah.
“Sepatutnya tidak sampai ke tahap itu. Masalahnya bila mudah mengkafirkan orang lain. Peserta Iran misalnya sentiasa menjadi juara pertandingan tilawah al-Quran, bagaimana senang-senang mengatakan mereka ‘bukan Islam’ dan Majusi?
“Jika begitu, Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) perlu buat dasar baru dan singkir mereka yang dianggap bukan Islam ini,” katanya ketika merasmikan ‘Seminar Islam tanpa Sektarianisme’ anjuran Islamic Rennaisance Front (IRF) di Hotel Concorde, hari ini.
Berbanding menyibukkan diri dalam soal perbezaan mazhab, katanya umat Islam perlu membangkitkan masalah ekonomi dan pendidikan yang sedang dihadapi mereka.
“Jika ingin membangunkan negara, masalah pertama yang perlu diselesaikan adalah berkaitan kelaparan, kejahilan dan rasuah.
“Untuk itu, golongan Islamis dan bukan Islamis perlu mewujudkan persefahaman…memahami alam (persekitaran) yang dihuni mereka dan cabarannya,” katanya yang juga ahli Kesatuan Ulama Sedunia.
Seminar tersebut bertujuan mengupas masalah perpecahan dunia Islam terutama antara pengikut mazhab Ahli Sunnah Wal Jamaah dan Syiah.
Pergeseran antara Arab Saudi dan Iran – 2 negara yang tiada hubungan diplomatik secara rasmi – bukanlah perkara baru, apabila kedua-dua negara itu dilihat bersaing merebut pengaruh di rantau Timur Tengah yang sentiasa bergolak.
Read More / Baca Lagi >>