Zahid berkata Pak Lah tidak beri komen negatif kerana pemimpin datang dan pergi, pemimpin diuji.
KEPALA BATAS: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini menyifatkan Tun Abdullah Ahmad Badawi sebagai pemimpin contoh kerana tidak pernah memberikan komen negatif terhadap pemimpin lain selepas tidak lagi menjadi perdana menteri.
Beliau berkata Abdullah yang lebih mesra dipanggil Pak Lah ialah pemimpin yang layak untuk dianugerahkan sebagai tokoh pemimpin terbaik.
“Pak Lah tak berikan komen yang negatif kerana pemimpin datang dan pergi, pemimpin diuji. Pak Lah memahami keadaan itu, pemimpin yang harus dihormati,” katanya ketika berucap merasmikan persidangan perwakilan Umno Bahagian Kepala Batas, di sini hari ini.
Turut hadir ialah Abdullah, Timbalan Menteri Luar yang juga Ketua Umno Bahagian Kepala Batas Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, Pengerusi Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang Teng Chang Yeow dan Pengerusi Umno Pulau Pinang Datuk Seri Zainal Abidin Osman.
Ahmad Zahid yang juga naib presiden Umno berkata setiap pemimpin tidak dapat lari daripada dugaan dan menurutnya kekuatan serta kehebatan seseorang pemimpin itu adalah hasil daripada sokongan kuat anggota parti.
“Setiap pemimpin ada dugaannya, Pak Lah juga diduga (dan) beliau berjaya (Perdana Menteri Datuk Seri) Najib (Tun Razak) juga diduga dan saya pun diduga.
Read More / Baca Lagi >>