Aegile Fernandez pertikai kewujudan sistem sokongan Persatuan Mencegah Dadah Malaysia untuk remaja dan pelajar, yang sedang diumpan 'gula-gula' dari jelitawan sindiket dadah.
PETALING JAYA: Pengedar dadah sentiasa mencuba taktik baharu untuk menarik golongan remaja, namun Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (Pemadam) dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) kelihatan pasif menanganinya.
Ketika dihubungi FMT hari ini, Pengarah Program Tenaganita Aegile Fernandez mempertikaikan kewujudan sistem sokongan Pemadam khusus untuk melindungi golongan remaja.
“Mana Pemadam? Kita tengok tak ada fungsi. Pemadam perlu lihat sekolah, komuniti, tempat dalam bandar.
“Pemadam mesti ada sistem sokongan. Tak ada sistem sokongan untuk golongan remaja akan menyebabkan mereka ikut jalan yang salah,” tegasnya.
Beliau mengulas laporan China Press semalam yang melaporkan pengedar dadah menggunakan jelitawan sebagai umpan untuk mencari pelanggan dalam kalangan remaja dan pelajar, menerusi media sosial Facebook atu aplikasi sosial seperti WeChat.
Menurut laporan itu, gadis cantik akan cuba mendekati dan mengajak mangsa keluar, sebelum memancing remaja dengan memberi “gula-gula percuma” supaya bakal pelanggan akan mencuba dadah percuma.
Seorang pekerja sosial di Pusat Pemulihan Bethany, Batu Pahat, yang dipetik akhbar itu berkata, sindiket mengunakan pelbagai kod untuk berhubung dengan pelanggan muda mereka, bagi mengelakkan kegiatan haram dikesan pihak berkuasa.
Read More / Baca Lagi >>