Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi ahli terawal mendaftar sebagai ahli seumur hidup Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) har ini.
Parti Pribumi itu mula mengedarkan borang keahlian mereka hari ini dan menjadikan pejabat Presidennya Tan Sri Muhyiddin Yassin di Bukit Damansara sebagai pusat pendaftaran.
Menurut Facebook parti itu malam ini, memaklumkan baru sahaja selesai urusan perlantikan wakil setiap negeri.
"Malam ini akan diumumkan WAKIL SETIAP NEGERI beserta nombor telefon. Sebarang urusan keahlian boleh menghubungi wakil-wakil negeri yang akan diumumkan.
"Selain borang fizikal melalui wakil-wakil tersebut, mulai minggu hadapan, borang secara atas talian dan aplikasi telefon pintar akan dilancarkan. Maka, bagi mereka yang mempunyai smart phone boleh mendaftar melalui aplikasi dan website yang akan diumumkan kelak, ujar kenyataan dilaman itu.
Dr Mahathir dan Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali hari ini menjadi anggota terawal mendaftar sebagai anggota seumur hidup dan membayar yuran RM100.
Diikuti Muhyiddin, Kamarulazman Habibur Rahman,Akhramsyah Muammar Ubaidah Sanusi, Anina Saadudin dan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengisi borang pendaftaran ahli seumur hidup yang mana foto-foto mereka turut dimuat naik ke laman sosial rasmi parti itu, selain gambar orang ramai yang mengerumuni tempat itu.
PPBM juga mendapat anggota bukan bumiputera pertama mereka hari ini.
Pendaftar Pertubuhan (RoS) pada 8 September dilapor sudah meluluskan permohonan parti itu.
Walaupun kaunter sepatutnya dibuka pada jam 11 pagi hari ini, orang awam sudah mula memenuhi pusat pendaftaran pusat, Parti Pribumi Bersatu Malaysia.
Bagi orang ramai yang ingin mendaftar sebagai ahli boleh hadir di Suite 2.01, Epicure, No.1 Jalan Medan Setia 1, Bukit Damansara, 50490 Kuala Lumpur, Malaysia.