Setelah 59 tahun merdeka, kita masih bertanya apakah "bangsa Malaysia" dalam erti yang sebenarnya sudah wujud secara nyata dan tuntas? Memang ironis, tetapi demikianlah kenyataannya, selama berdekad-dekad kita hanya dapat berbicara tentang warga negara Malaysia dan tentang perpaduan kebangsaan atau integrasi nasional, tetapi masih belum dapat dengan yakin dan pasti berbicara tentang "bangsa Malaysia" sebagai suatu realiti.
Tentu ada alasannya apabila Rustam A.Sani, seorang intelektual rakyat menulis pada tahun 2006, "Political events in Malaysia during the last few years have convinced me that Malaysia is just a state without nation -or at least, a state with several competing nations". (Rustam A.Sani, 2008:59). Wawasan 2020 yang diungkapkan pada tahun 1991 meletakkan pembentukan bangsa Malaysia di puncak urutan sembilan cabaran yang harus ditangani. Hanya tinggal lapan tahun sahaja lagi untuk kita menyaksikan terlaksana atau tidaknya wawasan pembentukan bangsa Malaysia yang bersatu,"…sejahtera, terintegrasi wilayah-wilayah dan kelompok-kelompok etniknya, menikmati kehidupan bersama yang sepenuhnya berasaskan persamaan hak dan keadilan, membentuk sebuah Bangsa Malaysia dengan rasa taat setia dan pengabdian yang tidak berbelah bagi terhadap bangsa tersebut".
Harus diakui, membentuk bangsa memang tidak mudah, apa lagi dalam konteks Malaysia dengankemajmukan masyarakatnya yang berpangkal dari dasar "pecah-perintah"; era penjajahan Inggeris.
Latar sejarah yang sedemikian menjadikan integrasi nasional yang dipupuk selepas kemerdekaan suatu yang sangat rapuh. Hubungan antara kaum banyak diasaskan pada politik akomodasi dan kompromi.
Bagaimanapun pendekatan ini tidak selamanya dapat dilaksanakan dengan lancar kerana politik tawar-menawar antara kaum itu selalu dilatari prasangka dan kecemburuan ras yang tebal.
Kesedaran tentang keperluan penggagasan faham berbangsa dan bernegara dalam konteks kemajmukan sebenarnya telahpun tumbuh seawal tahun-tahun 1940an lagi. Gabungan PUTERA-AMCJA dapat dirujuk sebagai wadah gerakan politik pelbagai kaum yang dengan serius menangani isu bangsa dan negara Malaya. Gerakan kerakyatan tersebut telah menghasilkan Perlembagaan Rakyat (1947), sebuah gagasan bersama yang mencerminkan kesepakatan rakyat pelbagai kaum tentang kehidupan berbangsa dan bernegara pada masa hadapan, dan sekaligus penolakan kolektif terhadap perlembagaan Malayan Union tajaan penjajah. Antara yang perlu dicatat sebagai pencapaian penting era tersebut ialah penggagasan nation of intent, bangsa Malaya seluruhnya disebut Melayu.
Petikan dari buku Pembinaan Bangsa: Kepelbagaian Dalam Bingkai Kesatuan, oleh Prof. Dato Dr. Siddiq Fadzil terbitan Institut Darul Ehsan (IDE).
Mengenai isu kebangsaan Melayu tersebut Dr.Burhanuddin al-Helmiy, pemikir dan pejuang politik yang serius, telah mengemukakan faham kebangsaan Melayu sebagai ideologi nasional, ideologi pemersatu rakyat pelbagai kaum. Sebagai ideologi nasional, faham kebangsaan Melayu dalam konteks ini tidak bersifat eksklusif, terbatas hanya untuk kelompok baka Melayu sahaja. Sebaliknya, ia bersifat inklusif, meliputi golongan bukan dari baka Melayu yang telah putus hubungan dengan kebangsaan asal. Ideologi nasional pembentuk kesatuan bangsa sebagaimana yang diungkapkan oleh Dr. Burhanuddin al-Helmiy itu ternyata memiliki kekuatan idea dan kekentalan semangat yang terumus dalam lima "rukun jiwa kebangsaan " i. Ketuhanan Yang Maha Esa, ii. Kebangsaan, iii. Kedaulatan Rakyat, iv. Persaudaraan Sejagat, dan v. Keadilan Masyarakat. (Kamaruddin Jaffar, 1980:113-121).
Sayang sekali, pemikiran tentang gagasan bangsa yang terhasil dari perahan otak, kerjasama, toleransi dan tentunya juga pengorbanan pelbagai golongan rakyat pejuang kemerdekaan itu tidak sempat teraktualisasi akibat tindakan supresif penjajah yang mempunyai agenda sendiri, kepada siapa kemerdekaan akan diserahkan, dan bagaimana rupa masyarakat yang akan mereka tinggalkan.
Memang demikianlah kenyataannya, Inggeris mewariskan masyarakat pelbagai kaum korban dasar pecah-perintah yang sangat fragile, rapuh, terpisah-pisah dan terkurung dalam kepompong budaya kaum masing-masing.
Pembentukan satu bangsa terasa suatu yang masih terlalu jauh. Yang dapat dilakukan hanya sebatas mewujudkan perpaduan antara kaum yang disebut integrasi nasional melalui beberapa dasar integratif seperti Bahasa Kebangsaan, Dasar Pelajaran Kebangsaan, Dasar Kebudayaan Kebangsaan dan kemudiannya Rukun Negara.
Dasar-dasar tersebut pada umumnya memang memiliki kekuatan integratif yang boleh menjadi landasan proses pembinaan satu bangsa, tetapi ketegasan pelaksanaannya yang musim-musiman menjadikannya kurang berkesan. Dari semasa ke semasa sikap dan perilaku racist atau perkauman sempit terus menggejala dan akhirnya memuncak pada peristiwa tragik 13 Mei 1969.
Pembinaan bangsa dalam konteks Malaysia harus berasaskan formula kepelbagaian dalam kesatuan. Kita harus dapat bersikap positif, melihat dan menerima kepelbagaian kaum, agama dan budaya bukan sebagai sumber konflik, sebaliknya sebagai aset kekuatan, kekayaan, kreativiti dan dinamika kemajuan.
Bangsa tidak dapat dibina menerusi formula melting pot atau kawah besar peleburan. Tidak ada golongan yang rela jati dirinya dilebur. Kebinekaan atau keragaman budaya tidak menjadi masalah, andainya ia diletakkan dalam bingkai keekaan atau kesatuan. Formula kepelbagaian dalam kesatuan adalah selaras dan serasi dengan fitrah dan sunnatulLah. Tema inilah yang dihuraikan dengan cukup menarik oleh Dr.Muhammad `Imarah dalam bukunya, al-Islam wa al-Ta`addudiyyah: al-Ikhtilaf wa al-Tanawwu` fiItar al-Wihdah (Islam dan Pluralisme: Perbezaan dan Kepelbagaian dalam Bingkai Kesatuan).
Segala kewujudan yang kita saksikan pada alam dan kehidupan semuanya memancarkan hakikat kepelbagaian dalam kesatuan -- keesaan Pencipta dengan kepelbagaian makhluk ciptaan-Nya; kesatuan keinsanan dengan kepelbagaian bangsa, warna dan bahasanya; kesatuan agama Allah dengan kepelbagaian syari`atnya; kesatuan syari`at dengan kepelbagaian fiqh, mazhab dan ijtihadnya.
Fitrah sunnatuLlah berupa kepelbagaian dalam bingkai kesatuan itulah yang diaplikasikan oleh Rasulullah s.`a.w. dalam pembinaan ummah negara Madinah sebagaimana yang tercermin dalam perlembagaan ulung Sahifah Madinah sebuah perlembagaan yang dilatari kepelbagaian kabilah, agama dan budaya warganya. Lewat Sahifah tersebut Rasulullah s.`a.w. telah membentuk ummah:ummah diniyyah (umat keagamaan) dan ummah siyasiyyah (umat politik).Ummah diniyyah bersifat eksklusif dan terbatas hanya untuk kaum Muslimin (annahum ummatun wahidatun min dunin-nas), sementara ummah siyasiyyah bersifat inklusif meliputi kaum Muslimin dan orang Yahudi (wa anna Yahuda Bani `Awfummatun ma`aminin). Kata kunci dalam ungkapan pembentukan ummah politik ini ialah kata ma`a (bersama) iaitu orang Yahudi bersama kaum Muslimin membentuk satu umat (umat Madinah). Ungkapan ma`a al-Muslimin (bersama kaum Muslimin), bukan min al-Muslimin (sebahagian daripada kaum Muslimin), bererti bahawa masyarakat Yahudi tidak menjadi bahagian daripada umat (keagamaan) Islam, tetapi menjadi bahagian daripada umat (politik) Madinah bersama dengan umat Islam.
Read More / Baca Lagi >>