Setelah bertemu dan bersalaman pada 5 September lalu selepas 18 tahun bermusuhan, Tun Mahathir Mohamad dan Anwar Ibrahim sekali lagi membuat kejutan dengan mengeluarkan kenyataan media bersama berkaitan Akta Majlis Keselamatan Negara.
Dalam kenyataan bersama satu mukasurat yang mengecam Najib Razak kerana melaksanakan Akta Majlis Keselamatan Negara itu, tandatangan Tun Mahathir dan Anwar terpampang sebelah-menyebelah di atas sehelai kertas, suatu keadaan yang tidak dijangka akan dilakukan oleh kedua-dua tokoh itu.
Dengan seorang di luar dan seorang lagi dalam penjara, kenyataan bersama beserta tandatangan masing-masing itu seperti memperlihatkan gandingan Tun Mahathir dan Anwar sedang berpadu tenaga semula, bukan saja untuk menyingkirkan Najib, tetapi juga memulihkan imej negara.
Dua langkah besar Tun Mahathir dan Anwar, bertemu serta bersalam dan kemudian mengeluarkan kenyataan secara bersama beserta saksi tandatangan masing-masing, ia seharusnya menutup sama sekali semua cerita-cerita lama penuh duka antara mereka.
Sebelum Tun Mahathir mengunjungi Anwar, bekas Ketua Pembangkang itu sudah acapkali mengatakan beliau telah lama memaafkan kesalahan bekas Perdana Menteri itu selepas pemecatannya pada 1998 dahulu.
Melalui kunjungan ke mahkamah, bertemu, bersalam dan turut mengadakan perbincangan selama 30 minit, Tun Mahathir sebenarnya sudah dianggap bermaaf-maafan dengan Anwar. Genggaman erat tangan Anwar menyambut salam Tun Mahathir juga bererti Anwar sekali lagi menunjukkan kepada umum bahawa beliau sudah memaafkan dan melupakan sejarah lalu.
Perbuatan yang ditunjukkan jauh lebih bermakna daripada ungkapan maaf yang diluahkan melalu kata-kata.
Lagi pun kedua-dua mereka, Tun Mahathir dan Anwar adalah pemimpin hebat. Tiada duanya seperti mereka di negara kita ini. Kepentingan negara yang ada dalam jiwa mereka sentiasa mengatasi dendam peribadi.
Semalam Anwar sekali lagi melahirkan penghargaan kepada Tun Mahathir, tidak saja kerana sokongannya berhubung Akta Majlis Keselamatan Negara, tetapi juga mengenai reformasi untuk negara.
Read More / Baca Lagi >>